Misteri: Cerita Disebalik Kubur Panjang Di Pendang


MEMANG menghairankan dan sukar dipercayai apabila kubur yang suatu ketika dulu bersaiz biasa, tetapi keadaannya berubah apabila jarak antara dua batu nisan di bahagian kepala dan kaki memanjang sehingga mencecah 8.6 meter.

Walaupun keadaan itu pelik, itulah hakikatnya dan tidak hairanlah tempat berkenaan diberi nama Kubur Panjang. Ia terletak di daerah Pendang, Kedah. Sehingga kini tiada siapa tahu mengapa dan bagaimana batu nisan itu boleh `bergerak' dari tempat asalnya hingga menambah ukuran panjang kubur itu.

Kubur misteri yang dikelilingi banyak kubur lain di tanah wakaf seluas 0.4 hektar di tepi jalan utama itu pernah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang ingin melihat keganjilannya. Dulu ada penduduk membina batu penghadang di sekeliling kubur itu, tetapi ia kini tertimbus akibat hakisan tanah, namun sepasang batu nisannya masih utuh.

Penduduk asal kampung itu, Sulaiman Arshad, 80, berkata tidak diketahui dengan jelas usia kubur itu bagaimanapun menurut cerita lisan orang tua sebelumnya, kubur panjang itu ada kaitan dengan janji tidak ditepati. 

Katanya, lebih 200 tahun lalu dua beradik yang berasal dari Pattani, Thailand, berhijrah ke sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Budi di Mukim Lesong kira-kira 10 kilometer dari Kubur Panjang.

Dua beradik itu dikatakan mempunyai ilmu kebatinan dan guru silat yang disegani sehingga salah seorang daripadanya dilantik menjadi ketua kampung. Sulaiman berkata, berdasarkan cerita dua beradik itu juga rajin bercucuk tanam dan bersawah sehingga mampu mengumpul harta yang banyak. 

Beliau berkata, setiap kali selepas musim menuai penduduk mengadakan pertandingan menyabung ayam dan lokasi paling popular untuk kegiatan itu ialah di Kampung Mempelam Susu, di daerah sama. 

"Suatu hari pertandingan secara besar-besaran diadakan dan seorang penduduk berjaya menjadi juara selepas mengalahkan ayam sabung yang lain.

"Selepas kemenangan itu dua beradik itu dicabar supaya bertanding dengan juara berkenaan.

"Dua beradik yang masing-masing membawa ayam sabung itu enggan berlawan kerana tujuan asal ke situ hanya untuk menyaksikan pertandingan itu saja, bagaimanapun selepas didesak penduduk akhirnya salah seorang daripadanya bersetuju berlawan. 

"Akhirnya ayam salah seorang daripada dua beradik itu berjaya mengalahkan pencabar berkenaan dan selepas kemenangan itu orang ramai meminta dua beradik itu bersabung ayam sesama sendiri," katanya. 

Sulaiman berkata, dua beradik itu mulanya enggan kerana jika salah seorang daripadanya menang, seorang lagi akan berasa malu disorak orang ramai. 

"Bagaimanapun selepas didesak beberapa kali akhirnya mereka mengalah tetapi dengan syarat yang menang dilarang menyorak yang kalah.

 "Akhirnya ayam adik lelaki itu kalah dalam perlawanan itu, manakala abangnya yang terlalu gembira terlupa kepada perjanjian hingga bersorak kegembiraan bersama penonton yang menyaksikan perlawanan itu.

"Kerana malu, adiknya mencabut keris lalu menikam dada abangnya. Sebelum mati abangnya berpesan kepada adiknya supaya tolong menjaga anak dan isterinya dengan baik," katanya. 

Beliau berkata, adiknya yang kesal dan sedih dengan kejadian itu bertindak membunuh diri dengan menikam dirinya menggunakan keris yang sama. Katanya, ketika mengusung jenazah untuk dikebumikan di Kampung Budi penduduk terkejut apabila kedua-dua jenazah itu tiba-tiba menjadi semakin berat hingga penduduk berhenti rehat beberapa kali.

"Penduduk yang tidak mampu lagi mengusung jenazah adiknya mengkebumikannya di situ, manakala jenazah abangnya dibawa ke Kampung Budi untuk disemadikan.


"Apa yang menghairankan ialah apabila penduduk kampung menziarahi kubur adiknya pada keesokkan harinya batu nisannya berubah kedudukan hingga menjadikan kubur itu panjang. 

"Malah satu ketika dulu jika kubur itu diukur ukurannya sering berubah-ubah sehingga menimbulkan rasa pelik di kalangan penduduk dan digelar sebagai Kubur Panjang hingga kini," katanya.

Beliau berkata, disebabkan keganjilan pada kubur itu ada penduduk menganggapnya keramat dan ada juga yang menjadikan ia tempat menurun nombor ekor.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh secara lisan cerita asal usul kubur panjang itu hampir sama. 

"Walaupun ada beberapa versi, tetapi intipati ceritanya sama iaitu pergaduhan antara dua beradik yang tidak berpegang kepada janji dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

 "Namun begitu kita sukar mengesahkan kesahihannya kerana tiada kajian ilmiah dibuat, selain ia sudah berlaku beratus tahun lalu. 

"Apa yang boleh dijadikan iktibar ialah, manusia patut berpegang pada janji dan perlu hidup rukun damai," katanya.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com