Mira Filzah Wujud Biasiswa RM1.3 Juta Untuk 100 Pelajar


PRIHATIN… Aktres comel, Mira Filzah mencatat sejarah apabila berjaya mewujudkan biasiswa Mira Filzah dengan kerjasama Aesthetic Skin International Institute yang berjumlah RM1.3 juta.

Biasiswa khas itu hanya ditawarkan kepada 100 individu yang berminat untuk belajar jurusan Keusahawanan Kecantikan (Beauty Entrepreneurship) di Aesthetic Skin International Institute di Bandar Sunway, Selangor.

Kata Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, yang pernah menjadi model pada Minggu Fesyen New York tahun lalu, pemberian biasiswa ini hasil atas inisiatifnya bersama-sama dengan Aesthetic Skin Group.

“Pada mulanya saya hanya ditawarkan untuk menjadi duta produk mereka tetapi saya inginkan satu kolaborasi yang lebih kepada jangka masa panjang dan memberi manfaat bukan pada saya sahaja, tetapi juga orang sekeliling.

“Dari situ tercetusnya idea biasiswa ini. Ia bukan sekali saja tetapi program ini akan berterusan sebab institut ini turut menawarkan program lain tanpa biasiswa ini. Ada juga ditawarkan separuh biasiswa penuh dan separuh.

“Bergantung kepada individu berkenaan,” kata Mira kepada Harian Metro. Biasiswa tersebut juga sebagai satu cara untuk dirinya dapat membantu orang lain agar berjaya dalam mengejar cita-cita mereka bergelar usahawan.

Lebih membanggakan jelas graduan Pengajian Perniagaan Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara itu, apabila pelajar terbaik Aesthetic Skin Group (ASG) akan diberikan modal untuk memulakan perniagaan sendiri.

“Niat saya hanya untuk beri sesuatu kepada masyarakat. Dari dulu sampai sekarang, saya sangat menitikberatkan soal pendidikan dan ilmu. Disebabkan itu, saya mahu orang sekeliling pun dapat peluang untuk menuntut ilmu.

“Ini demi kejar cita-cita dan kerjaya. Peluang bekerjasama dalam projek ini sesuatu yang mengujakan. Kalau boleh, saya mahu ramai yang berjaya,” kata Mira yang pernah popular menerusi drama Cinta Si Wedding Planner.

Biasiswa tersebut ditawarkan kepada mereka berumur dari 18 sehingga 30 tahun dan mempunyai minat dalam bidang kecantikan dan keusahawanan. Mereka yang terpilih akan mengikuti kursus intensif selama 15 bulan.

Mereka turut berpeluang jana pendapatan menerusi pendedahan secara teori dan praktikal. Kata Mira, pada hari pertama pendaftaran dibuka seramai 60 hadir mendaftar dan ditemuramah dikuti 30 orang lagi pada Sabtu lalu.

“Menariknya, ada pelajar dari Indonesia mendaftar. Malah ada pelajar memiliki sarjana muda datang memohon biasiswa ini. Pendek kata, ia terbuka untuk semua yang layak,” katanya.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com