Minyak Masak Paket Di Kedah Berkurang


ALOR SETAR - Bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram (kg) di Kedah didapati berkurangan berikutan kuota diberikan kepada pemborong dan peniaga didakwa dikurangkan oleh pihak pembekal sejak sebulan lalu.

Hasil tinjauan di Pasar Besar Alor Setar semalam mendapati jualan minyak masak tersebut juga dihadkan kepada pelanggan.

Menurut Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima rungutan berkaitan kekurangan minyak masak berkenaan di negeri ini, dan percaya ia berpunca akibat jumlah kuota yang dikurangkan.

Jelasnya, berikutan masalah itu, peniaga terpaksa menjual minyak masak botol yang harganya lebih mahal selain tidak mendapat sambutan.

"Masalah ini membebankan pengguna terutama peniaga kecil kerana menggunakan minyak masak (paket) yang banyak, dan keadaan itu memungkinkan perniagaan mereka terpaksa ditutup sekiranya bekalan masih berkurangan.

"Ramai rakyat di negeri ini berpendapatan rendah dan menggunakan minyak masak paket kerana harganya lebih murah, tetapi apabila masalah (kekurangan bekalan) ini berlaku, mereka terpaksa menanggung beban," katanya ditemui selepas melakukan pemeriksaan bekalan minyak masak di Pasar Besar Alor Setar.

Tambah beliau, keadaan itu dikesan berlaku sekitar Kota Setar, Kuala Kedah, Kubang Pasu dan Pendang.

Katanya, pihak mereka berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dan menjalankan siasatan untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Sebelum ini minyak masak paket diterima oleh peniaga antara 30 hingga 50 kg seminggu, tetapi kini dikurangkan kepada 20 hingga 25 kg sahaja bagi tempoh sama.

"Kita juga berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati berikutan kekurangan bekalan minyak masak subsidi ini," katanya memetik MyMetro.

Bagi seorang pengusaha kedai runcit Azizah Said, 60, berkata masalah ini sudah berlarutan sejak Disember lalu dan dia hanya memperoleh bekalan 20 hingga 30 paket minyak masak sahaja seminggu.

Ujar Azizah, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa mengutamakan mereka yang berniaga dan memerlukan minyak masak paket dalam jumlah banyak walaupun ada pelanggan lain berkecil hati kerana tidak dapat membeli.

"Biasanya pelanggan tidak mahu membeli minyak masak botol kerana harganya lebih mahal antara RM3.30 untuk 800 gram dan RM22 untuk lima liter berbanding dalam paket," katanya.

Mengulas lanjut hal tersebut, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah Chin Ching Chung berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung isu kekurangan bekalan minyak masak paket berkenaan dan akan mengarahkan pegawainya untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pembekal dan pemborong serta peruncit di negeri ini.

Beliau berkata, KPDNKK mempunyai senarai kuota penghantaran minyak masak paket oleh pembekal serta pemborong.

"Sejak semalam, anggota kami sudah membuat pemeriksaan dan akan berterusan di semua tempat di negeri ini.

"Namun, jika berlaku masalah kekurangan minyak masak berpaket ini, ia bukanlah disebabkan bekalan disorok dan siasatan akan dijalankan," jelasnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com