‘Mental Kami Tak Koyak’ - Ifwat Akmal


ALOR SETAR - Biarpun berdepan serangan psikologi Iraq  Di Changshu, China, namun perkara itu tidak menganggu tumpuan pemain Malaysia menjelang aksi pembukaan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23), Rabu ini, kata penjaga gawang negara, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Mengikut jadual, pasukan negara bakal menentang Iraq dalam aksi sulung Kumpulan C di Stadium Changshu, Rabu ini, sebelum bertemu Jordan dan Arab Saudi.

“Kami tidak takut pun sebab mereka cuba mengganggu kami di luar padang sebab bagi saya apa yang berlaku dalam padang perlu diberi keutamaan.

“Pemain Iraq cuba menggertak dan menakutkan kami tetapi kami tidak takut pun sebab lebih baik kami buat seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Mereka cuba melancarkan perang psikologi terhadap kami dengan cara melihat kami membuat muka seperti tidak puas hati tetapi tidaklah sehingga melanggar bahu. Kami anggap perkara ini seperti kebudak-budakan.

“Lagi pun, kami memang malas nak layan sebab jika dilayan semakin menjadi nanti. Tiada sebab untuk kami berasa takut,” katanya kepada pemberita di Padang Latihan Haiyu semalam

Baru-baru ini akhbar ada melaporkan terdapat segelintir pemain Iraq cuba mengganggu pemain negara apabila ada dalam kalangan mereka yang merenung Jafri Firdaus Chew dengan cara tidak puas hati namun Ifwat tampil ke depan untuk mempertahankan rakannya.

Ifwat yang merupakan penjaga gol pasukan Kedah turut berkata ini bukan pertama kali dia dan rakan sepasukannya berdepan situasi seperti itu kerana sebelum ini mereka pernah menghadapinya ketika beraksi di pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Bangkok, Thailand pada Julai lalu.

“Jurulatih ada memberitahu agar kami tidak perlu terlalu hormat kepada mereka walaupun mereka kuat sebab kami juga juga antara pasukan yang hebat sebab layak ke pusingan akhir.

“Sebelum ini, Indonesia pernah membuat perkara yang sama terhadap kami namun kami tidak layan mereka. Bagi saya perkara ini seperti kebudak-budakan,” katanya memetik Utusan Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com