Mengaku Tak Bersalah Rantai Leher Anak Pada Tong Gas


KUANTAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes berhubung penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pada 5 Oktober lalu yang didakwa dirantai leher mangsa pada tong gas memasak.

Tertuduh, Mohd Farid Fikri Mohamad, 32, dan isterinya, Fatimah Muhammad Zain, 37, yang juga merupakan bapa tiri dan ibu kandung mangsa, mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim Datuk Unaizah Mohd.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pasangan tertuduh yang diwakili peguam,  Noor Svetlana Mohd Noordin, didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 1 hingga 9.15 pagi pada 5 Oktober lalu dengan menganiaya mangsa di bawah jagaan mereka dengan cara merantai leher menggunakan rantai besi pada tong gas memasak.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Manakala pertuduhan kedua pula, mereka didakwa antara jam 8 pagi hingga jam 10.30 malam, 31 September hingga 4 Oktober lalu melakukan kesalahan dengan mencapai niat bersama membiarkan mangsa tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.

Untuk pertuduhan kedua, mereka  didakwa mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Shahrul Ekhsan Hassim.

Mahkamah membenarkan kes tersebut ditangguh selama sebulan bagi menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan 'representasi' daripada pihak pembelaan. 

Sumber - Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com