Mata Wang Asing Bernilai RM8.3 Juta Lesap


KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes kehilangan mata wang asing yang dianggarkan bernilai RM8.3 juta milik sebuah syarikat pemborong mata wang dalam dua tangkapan berasingan di ibu negara pada Sabtu dan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang masing-masing berusia 33, 41 dan 43 tahun itu ditangkap selepas polis menerima laporan daripada syarikat pemborong mata wang terbabit pada Jumaat lepas.

“Ketiga-tiga mereka bekerja sebagai ‘runner’ untuk syarikat pengurup wang dan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini semalam.

Difahamkan, seorang pekerja syarikat pemborong berkenaan ditugaskan untuk mengedarkan mata wang Thailand bernilai  85 juta baht kepada beberapa syarikat pengurup wang, namun wang itu tidak sampai kepada  pengurup terbabit.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan tentang kebimbangan syarikat pengurup wang akan mengalami kekurangan bekalan mata wang asing untuk diniagakan susulan kes berkenaan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com