Mat Don Kembali Cari Kedah Di Surabaya


KUALA LUMPUR - Pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi tiba di Surabaya, Indonesia semalam bagi mengesahkan komitmennya terhadap juara Piala FA itu selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Perancis, sebelum ini.

Bekas pemain kebangsaan Kosovo itu dikatakan mengadakan perbincangan dengan kelab Ligue 1, Angers mengenai kemungkinan untuk berpindah tetapi Liridon memutuskan belum masanya untuk dia meninggalkan Kedah yang ketika ini sedang mengharungi perlawanan pramusim.

Begitupun, pemain yang diberi jolokan Mat Don itu masih berharap untuk kembali beraksi di Eropah satu hari nanti selepas pernah menolak untuk bermain dengan kelab Republik Czech, Mlada Boleslav dan kelab Turki, Fethiyespor.

"Ada banyak khabar angin mengenai saya meninggalkan Kedah. Benar, ada sesuatu di mana saya hampir melakukan untuk karier saya," kata Liridon, 26 dalam temuramah video yang dipaparkan di laman Facebook Kedah FA.

"Ia impian dan ia masih lagi impian saya untuk bermain dengan kelab besar di Eropah. Akhirnya, ia tidak berlaku dan ia bukannya perkara yang negatif tetapi kerana saya belum berpuas hati dan berfikir masanya tidak tepat.

"Jadi, saya memutuskan untuk meneruskannya dengan Kedah. Tetapi ia satu pengalaman yang baik untuk melihat keadaannya (di Perancis)."

Liridon memainkan peranan penting buat Kedah sejak menyertai pasukan itu pada 2015 dengan menjuarai Liga Perdana pada tahun sama dan dinaikkan pangkat ke Liga Super, menjuarai Piala Malaysia (2016) dan Piala FA, tahun lalu.

"Kini saya kembali bersama Kedah di mana saya rasa seperti berada di rumah sendiri dan mereka juga melayan saya dengan baik," kata Liridon.

"Saya gembira untuk pulang, minda saya bebas dan kini saya boleh fokus untuk musim baharu kerana sejak beberapa minggu lalu, ia sedikit aneh.

"Saya akan berjumpa dengan jurulatih (Ramon Marcote) dan rakan sepasukan dan saya berharap kami akan memperoleh musim yang baik.

"Saya mahu mengucapkan maaf kepada peminat Kedah atas segala khabar angin ini. Tetapi kini Mat Don sudah kembali!"

Kedah dijadual melawan Madura United, esok dalam Piala Super Suramadu tetapi Liridon berkata dia tidak akan bermain pada perlawanan berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com