Masyarakat India Nikmati Insentif Amanah Saham 1Malaysia


KUALA LUMPUR - Masyarakat India boleh terus melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia dengan pengagihan khas 1.5 bilion unit tambahan mulai semalam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata manfaat besar yang akan dinikmati masyarakat India itu adalah seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 tahun lalu.

"Semoga ini (unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia) dapat meningkatkan lagi pemilikan saham dalam kalangan masyarakat India," katanya menerusi Twitter rasminya, sebentar tadi.

Bajet 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober tahun lalu, antara lain memberi manfaat besar kepada masyarakat India di negara ini menerusi pelbagai inisiatif dirangka kerajaan.

Bagi masyarakat terbabit, kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu menerusi pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia, yang dihadkan kepada 30,000 unit setiap pelabur.

Selain itu, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi tempoh lima tahun di bawah skim pinjaman pelaburan khas yang ditawarkan kepada 100,000 isi rumah golongan B40 masyarakat India.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com