Maritim Rampas Rokok Seludup RM1.86 Juta


ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim Kuala Linggi berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok termasuk cukai bernilai RM 1.86 juta di sini, malam tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 11.10 malam itu, sebuah bot muatan kargo 'barter trade' yang mencurigakan dikesan di kedudukan lebih kurang 6.2 Batu Nautika Barat Daya Tanjung Bidara

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuala Linggi, Komander Maritim, Azman Samsudin berkata, setelah menerima maklumat itu, sebuah bot Petir 91 diketuai Bintara Muda Maritim Mohd Foudi Ismail dengan kekuatan empat anggota penguatkuasa bergegas ke lokasi kejadian.

"Pihak kita menerima maklumat menerusi pengesanan radar sistem pengawasan laut (Swasla) Maritim yang berpengkalan di Lumut sebelum anggota kita menghampiri bot terbabit.

"Hasil pemeriksaan di dalam bot yang bernombor daftar Rezeki Mulia 1 menemui sejumlah besar rokok putih pelbagai jenis yang cuba diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah," katanya.

Azman berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Rampasan Rokok Seludup di Ibu Pejabat Daerah Maritim Kuala Linggi, hari ini.

Tambahnya, rampasan itu juga berjaya menahan enam awak-awak dalam lingkungan usia 22 hingga 36 tahun yang diketuai seorang tekong berumur 50 tahun yang kesemua mereka merupakan warganegara Indonesia.

"Kesemua barang rampasan termasuk sebuah bot 'barter trade' dan 1,200 peti rokok putih membabitkan 60,000 karton rokok telah di bawa ke Ibu Pejabat Daerah Maritim Kuala Linggi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat maritim bagi siasatan lanjut.

"Maritim Daerah Maritim Kuala Linggi akan terus berusaha sedaya upaya membanteras jenayah penyeludupan ini walaupun sukar untuk dihentikan secara total," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com