Marcote Yakin Kebolehan Pallares, Silva


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote cukup yakin dengan kebolehan serta kelebihan yang dimiliki dua pemain import terbaru skuad bimbingannya, Pablo Pallares dari Sepanyol dan Alvaro Silva (Filipina) yang mengikat kontrak bersama skuad Helang Merah, pada 3 Januari lalu.

“Mereka pemain yang berkebolehan dan pernah beraksi dengan pasukan yang ternama, jadi saya tidak meragui bakat yang ada pada mereka,” kata Marcote menerusi laman sosial Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), semalam.

“Tetapi jangan risau, kerana mereka mampu membuat kejutan dalam Liga Malaysia (Liga M) nanti. Cuma mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak dan corak bola sepak Malaysia termasuk cuaca, keadaan padang serta corak permainan yang sedikit berlainan seperti yang pernah dialami Pablo di Sepanyol sebelum ini," katanya memetik MyMetro.

Pablo Pallares  merupakan bekas pemain kelab Ponferradina dalam Segunda Division B, Sepanyol bakal beraksi di posisi serangan, manakala bekas pemain bek tengah pasukan Ha Noi FC yamg memiliki kerakyatan Filipina, Alvaro Silva akan beraksi di posisi bek tengah.

“Saya tidak meragui mengenai isu itu dan saya berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan pasukan dan keadaan semasa secepat mungkin.

“Saya juga berharap mereka dapat menimba pengalaman dan menunjukkan kemampuan pada tahap yang terbaik apabila bergandingan dengan semua pemain lain dalam kejohanan di Indonesia. Ini adalah satu persediaan penting untuk mereka dan juga pasukan," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pemain import sensasi Kedah, Liridon yang dikatakan sedang menghadiri sesi ujian bersama kelab Liga 1 di Perancis, Marcote berkata, beliau dimaklumkan pemain itu akan kembali menyertai pasukan pada 12 Januari nanti untuk perlawanan terakhir Kedah merebut Piala Super Suramadu di Indonesia.

“Liridon masih mempunyai kontrak dengan Kedah dan selepas tamat sesi ujian berkenaan, dia akan terus menyertai pasukan pada 12 Januari nanti iaitu perlawanan Kedah bertemu Madura United,” jelas Marcote. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com