Marcote Tak Perlu Pening Perihal Pemain Import - Khamal Idris Ali


ALOR SETAR - Pengendali Kedah, Ramon Marcote tidak perlu pening kepala mencari calon pemain import untuk kuota Asia Tenggara kerana bakat muda yang dimiliki pasukan berkenaan sudah mampu menutup kekosongan itu.

Menurut bekas pemain pertahanan Kedah dan kebangsaan, Khamal Idris Ali berkata, jurulatih dari Sepanyol itu sebaliknya harus bijak memanfaatkan limpahan bakat yang dimiliki Helang Merah tanpa perlu membazirkan wang untuk penambahan pemain import.

"Kalau tiada calon yang benar-benar layak, tidak perlulah Marcote pening kepala memikirkannya serta memaksa diri untuk mencari pemain import ASEAN bagi memenuhi kuota itu.

"Lagipun, kualiti pemain negara Asia Tenggara lain dengan pemain kita tidak banyak beza. Buat apa membazirkan duit untuk membeli pemain yang setaraf pemain tempatan.

"Apatah lagi Kedah memiliki ramai pemain muda berbakat besar, jadi saya rasa tiada masalah kalau tidak ada pemain import kelima. Cuma, Marcote perlu berani menonjolkan mereka," katanya memetik BH Online.

Tambah Khamal, 'permata baru' Kedah, Akhyar Rashid adalah antara bakat luar biasa yang boleh dimanfaatkan oleh Marcote, musim ini.

"Akhyar membuktikan dia antara pemain muda terbaik Asia sehingga membuka mata banyak kelab luar. Saya yakin dia sudah layak berada dalam kesebelasan utama Kedah.

"Begitu juga dengan Farhan Roslan yang bakatnya tidak digunakan sepenuhnya kerana jurulatih lebih mengutamakan pemain import," ujar Khamal.

Selain itu, bagi pemain lain seperti Hidhir Idris, Zafuan Azeman dan Nur Fiqrie Abd Talib yang diuji dalam beberapa siri perlawanan pramusim juga turut menunjukkan kematangan walaupun masih muda serta kurang pengalaman.

Kini Kedah sudah dibarisi empat pemain import. Selain mengekalkan Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva, pasukan itu diperkuatkan dengan penyerang dari Sepanyol, Pablo Pallares serta pemain pertahanan, Alvaro Silva. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com