Marcote Kagum Dengan Kesungguhan Pemain Di Surabaya


ALOR SETAR - Pengendali pasukan Kedah, Ramon Marcote kagum dengan kesungguhan pemain tempatan skuad hijau kuning sepanjang kejohanan pramusim di Surabaya minggu lalu.

Menurutnya, walaupun keputusan perlawanan sepanjang kejohanan berkenaan tidak ditahap tertinggi, namun aksi yang dipamerkan pemain membuktikan mereka mampu melakukan yang terbaik.

Jelasnya, kematangan pemain muda ketika berdepan setiap lawan juga layak dipuji meskipun terdapat beberapa kesilapan yang perlu diperbaiki.

"Pemain tempatan dan pemain muda telah menunjukkan bahawa mereka mampu bersaing dalam kejohanan ini dan mereka meletakkan diri sebagai aset penting pasukan.

"Pemain import kita, Alvaro Silva dan Pablo Pallares juga turut mempamerkan persembahan yang memuaskan hati saya walaupun kedua pemain ini hanya berlatih sebanyak tiga kali sebelum kita bertolak ke Surabaya.

"Saya harap jaringan yang dihasilkan oleh Pallares ketika bertemu Madura United pasti akan menambahkan keyakinannya untuk membantu Kedah musim ini.

"Dengan kehadiran Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva selepas ini, serta seorang lagi pemain dari kuota Asean pasti akan memantapkan lagi prestasi pasukan kerana pencabar kita musim ini telah melakukan persediaan sebaik mungkin.

"Pemain seperti Mohamed Hidhir yang berjaya menjaringkan dua gol membuktikan keupayaaanya untuk beraksi di peringkat lebih tinggi dan dia pasti akan lebih yakin ketika diberi peluang untuk beraksi pada Liga Malaysia musim ini," katanya memetik Mstar Online.

Malah Marcote memberitahu, tugas pentingnya kini adalah mengukuhkan persefahaman dalam kalangan pemain menerusi latihan dan perlawanan persahabatan sebelum liga membuka tirainya.

Tambahnya, semua pemain telah diberikan rehat selama dua hari selepas kembali dari Indonesia pada Sabtu malam sebelum menyambung kembali latihan pada Selasa petang.

Seterusnya, pada Rabu skuad hijau kuning akan kembali mengharungi perlawanan persahabatan bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Mini Stadium Univarsiti Utara Malaysia (UUM).

"Pada perlawanan Rabu ini, saya yakin empat pemain import kita telah bersedia untuk turun beraksi bersama dalam membuna sebuah skuad yang lebih baik selain meningkatkan moral diri sendiri.

"Saya juga berharap pemain import kelima Kedah akan tiba secepat mungkin kerana kita hanya mempunyai 18 hari lagi bagi mengenal pasti kesebelasan utama yang bakal berdepan JDT di bagi merebut Piala Sumbangsih," ujarnya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com