Mamee Bakal Perkenal Makanan Berasaskan Korea


SEOUL – Pengeluar mi segera terkemuka, Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd., (Mamee) dijangka me­lancarkan produk terbaharu berasaskan makanan popular Korea Selatan untuk pasaran Malaysia pada suku pertama tahun ini.

Pengarah Strategi Korporat dan Kewangan Mamee, Vuitton Pang Hee Cheah berkata, produk berasaskan mi ramen itu bakal memasuki pasaran negara seawal bulan Mac nanti sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada April.

Katanya, produk diberi nama Daebak itu merupakan hasil usaha sama dengan syarikat penyedia makanan terkemuka di Korea Selatan, Shinsegae Food.

“Ia akan dijual dalam bentuk peket dan cawan dengan dua perisa iaitu kimchi serta ayam pedas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar berhubung penglibatan Malaysia dalam Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 di sini baru-baru ini.

Vuitton menjelaskan, mi ramen berbentuk paket bakal dijual pada harga antara RM4 hingga RM4.60 sepeket.

Tambah beliau, usaha sama dengan Shinsegae Food bakal membuka peluang luas ter­utama dari segi penyediaan makanan halal di Korea Selatan dan di Malaysia sendiri.

“Kita dapati terdapat permintaan yang tinggi terhadap makanan popular dari Korea Selatan dan dengan usahasama ini ia bakal membuka pe­luang memperkenalkan pro­duk halal pertama dari Korea Selatan,” katanya.

 Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com