Malu Jadi Warga Malaysia, Tapi Mahu Jadi Pemimpin.....


Bukan sahaja orang politik, tokoh budayawan dan ahli akademik juga mencadangkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir 'bermastautin' di negara lain jika merasa malu untuk mengaku sebagai rakyat Malaysia.  

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berpendapat Mukhriz wajar melepaskan status kewarganegaraannya secara sukarela sekiranya malu mengaku rakyat negara ini.

Menurutnya tindakan Mukhriz yang sanggup mengaku sebagai rakyat Brunei juga jelas membuktikan anak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak taat kepada negara.

“Kenyataan itu membuktikan betapa beliau tidak taat atau setia kepada negara, merupakan satu perlanggaran yang sangat jelas kepada salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” ujar beliau.

Pandangan yang sama diutarakan  oleh sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin yang menjelaskan seorang pemimpin tanpa semangat patriotisme ha­nya memberikan kesan negatif kepada negara sahaja.

Katanya, malah kepemimpinan individu itu juga bakal dipersoal kerana mentadbir tanpa rasa cintakan kepada negara.

“Jika seseorang itu tidak mempercayai negaranya, tetapi pada masa sama mahu memerintahnya, sudah pasti menimbulkan kebimbangan terutama bagaimana individu itu mahu menjalankan tanggungjawab serta menyatakan pendirian terhadap isu negara,” katanya sepertimana dilaporkan oleh media tempat semalam.

Swee Tin menambah, tidak ada mana-mana pihak boleh menafikan nikmat bernegara, malah ramai lagi individu di dunia ini sedang mencari negara sebagai tempat berlindung.

“Ramai yang berhasrat menjadi rakyat kepada sesebuah negara, terma­suklah Malaysia,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memaklum pada satu ceramah politik di Baling baru-baru ini bahawa beliau amat malu mengaku rakyat Malaysia apabila berada di luar negeri.

Pengakuan Mukhriz itu dihentam oleh rakyat negara ini selepas ucapan beliau itu tular menerusi media sosial. 

Tidak tahan dengan asakan orang ramai, Mukhriz menafikannya dan menyalahkan pihak media sebagai salah lapor.

Sebelum ini, Dr. Mahathir dalam ceramahnya juga sering menyatakan  perkara yang sama, malu untuk memberitahu beliau rakyat Malaysia semasa berada di luar negara . - Kedahnews.com
   

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com