Malaysia Tidak Akan Main Bertahan


CHANGSHU, China - Jurulatih skuad bawah 23 (B-23), Datuk Ong Kim Swee menegaskan tiada gunanya untuk beliau menerapkan corak permainan bertahan dalam setiap perlawanan Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23).

Walaupun tewas 4-1 kepada Iraq dalam aksi pertama kumpulan, namun Kim Swee masih menaruh harapan bahawa anak-anak buahnya boleh mencipta kejutan untuk perlawanan seterusnya menentang Jordan di Stadium Changshu, hari ini

Tegasnya, Malaysia mampu memberi saingan dalam kejohanan tersebut bagaimanapun tidak menafikan jika pemainnya melakukan kesilapan mudah akan membuka peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol.

“Saya boleh datang ke sini dengan corak taktikal bertahan untuk setiap perlawanan tetapi apa yang kita boleh pelajari selain bertahan? Kita tidak boleh belajar corak permainan yang kita inginkan.

“Bagaimanapun, saya fikir untuk pendedahan yang lebih baik kita perlu bermula dengan corak permainan sendiri.

“Ia terbukti berkesan (ketika menentang Iraq), cuma kita hilang kawalan dan itu menjadi punca kekalahan,” katanya kepada pemberita di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changshu kelmarin.

Kim Swee berkata, anak-anak buahnya perlu kembali fokus kerana mengakui Jordan dan Arab Saudi yang terikat 2-2 dalam aksi pertama adalah lawan setara seperti juara 2013, Iraq.

Hari ini Kim Swee mengadakan latihan seperti biasa tanpa kehadiran ketua pasukan, Adam Nor Azlin dan penyerang, N. Thanabalan yang direhatkan akibat masalah kesihatan serta kecederaan.

“Adam demam sebelum perlawanan lagi namun dia tetap mahu beraksi manakala Thanabalan kemungkinan besar tidak dapat diturunkan menentang Jordan bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana saya perlu meneliti laporan doktor,” katanya. 

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com