Malaysia Tewas Bermaruah 1-2 Kepada Korea Selatan


LANGKAH skuad negara pada Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) terhenti di suku akhir apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan, China.

Skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit untuk lakar satu lagi sejarah selepas ketinggalan menerusi jaringan gol terpantas kejohanan itu oleh Cho Jae Wan seminit selepas wisel permulaan ditiupkan.

Malah pasukan negara ikat kedudukan hasil percubaan pemain gantian N Thanabalan pada babak kedua. Namun, impian itu berkecai dengan jaringan kemenangan lawan menerusi Han Seung Gyu lima minit sebelum tamat.

Biarpun dihimpit dengan masalah kecederaan beberapa pemain, Kim Swee masih mengekalkan hampir semua kesebelasan utama ketika menewaskan Arab Saudi 1-0 sebelum ini dengan hanya memasukkan Nik Akif Syahiran.

Dia menggantikan R Kogileswaran di bahagian serangan. Bagaimanapun belum sempat pemain negara mengatur permainan, mereka dikejutkan pula dengan serangan awal Korea Selatan dari sebelah kanan padang.

Rembatan padu Jae Wan gagal diselamatkan penjaga gol negara, Haziq Nadzli ketika saingan baru memasuki 15 saat. Namun jaringan awal skuad naib juara 2016 itu tidak menyentap semangat juang anak buah Kim Swee.

Mereka cuba bangkit semula menguasai permainan ketika pemain lawan pula kelihatan bergelut kepenatan. Penjaring dua gol negara pada peringkat Kumpulan C, Safawi Rasid bahkan memiliki dua peluang terbaik.

Ia berlaku pada minit ke-16 dan masa tambahan babak pertama, namun diselamatkan penjaga gol, Kang Hyeon Mu. Biarpun memperlahankan rentak, Korea Selatan dibimbing Kim Bong Gil tetap bahaya dengan serangan pantas.

Pasukan tersebut bahkan hampir menambahkan jaringan pada minit ke-31, namun penjaga gawang negara, Haziq beraksi cemerlang ketika cemas berdepan situasi satu lawan satu dengan Lee Kuon Ho sahaja.

Ketinggalan satu gol, Malaysia cuba bangkit dengan mengasak dan hampir membolosi gawang Korea Selatan menerusi percubaan Adam Nor Azlin dan Safawi tetapi mereka berdua masih lagi gagal menepati sasaran.

Kim Swee kemudian melakukan dua pertukaran dengan memasukkan N Thanabalan bagi mengambil tempat Akhyar Abdul Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk memantapkan lagi bahagian serangan pasukan negara.

Percaturan berbaloi apabila Thanabalan yang mengalami hamstring dan direhatkan ketika Malaysia seri 1-1 dengan Jordan dan menang 1-0 ke atas Arab Saudi membuktikan bisa tandukannya dengan gol penyamaan minit ke-67.

Namun, kelincahan Seung Gyu gagal dihalang menyaksikan dia menyumbat gol kemenangan pada minit ke-85 bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menentang Uzbekistan pada Selasa ini. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com