Makan Makanan Berkualiti, Trump Ulangi, Dirinya Seorang Genius


LONDON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi mendakwa dirinya sebagai seorang yang genius dan mengambil makanan berkualiti tinggi.

Trump berkata demikian ketika program wawancara oleh rangkaian televisyen British ITV yang disiarkan pada Ahad.

Ketika wawancara itu, Trump ditanya mengenai pengambilan makanan segera seperti burger dan minuman berkarbonat.

"Saya mengambil makanan terpilih daripada tukang masak terbaik dunia. Saya mengambil makanan sihat. Kadang kala, saya juga menikmati makanan segera.

"Secara amnya, saya rasa saya memiliki tabiat pemakanan yang bagus," katanya.

Menghargai impak yang diperolehi dari catatannya di laman Twitter, Trump berkata dia memerlukan media sosial untuk berkomunikasi dengan pengundi dalam era masa kini yang katanya penuh dengan berita palsu.

Pemimpin berusia 71 tahun itu turut mendedahkan, adakalanya beliau melayari Twitter ketika berada di atas katil, pada awal pagi atau waktu malam kerana waktu siangnya sangat sibuk.

"Kadang-kadang saya tweet di katil, kadang-kadang ketika sarapan, makan tengah hari atau bila-bila.

"Tetapi, secara amnya, pada awal pagi atau pada waktu malam, saya boleh buat apa saja, tetapi pada siang hari, saya sangat sibuk," katanya. 

Akaun Twitter milik Trump @realDonaldTrump mempunyai 47.2 juta pengguna setakat 28 Jan, 2018.

Mengenai Perjanjian Iklim Paris 2015, Trump berkata, dia sedia mempertimbangkannya sekiranya ia menjanjikan pulangan yang baik untuk Amerika Syarikat (AS).

Pada Jun tahun lalu, beliau mengundang kemarahan dan kritikan dunia apabila memutuskan AS tidak lagi men­yertai perjanjian itu, sekali gus dilihat bakal memperlahankan usaha menangani isu pemanasan global.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com