Mahfuz Marah PAS Menyebelahi BN, Musuhi Pakatan Harapan?


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar meluahkan kemarahan beliau terhadap PAS dan menuduh bekas partinya itu akan menyebelahi Barisan Nasional (BN) berbanding Pakatan Harapan.

Mahfuz berkata, sekiranya PAS berjaya mendapat 40 kerusi yang disasarkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, pastinya bekas partinya itu akan cenderung menyebelahi BN untuk membentuk kerajaan.

"Saya yakin, jika ditakdirkan PAS menang 40 kerusi dan BN atau Pakatan Harapan tidak memiliki majoriti majoriti untuk membentuk kerajaan, maka PAS sudah tentu tanpa ragu akan memilih untuk menyokong BN.

"Sudah tentu PAS tidak akan berunding dan menyokong Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru selepas PRU14," katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz dalam usaha membangkitkan kemarahan ahli parti itu terhadap PAS turut menuduh parti berkenaan "menipu" kerana mengajak ahlinya berentap dengan BN dan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti.

"Pendirian PAS ini merupakan penipuan awal pimpinan PAS terhadap ahli PAS yang diajak berlawan dengan UMNO/BN dan Pakatan Harapan pada PRU14, tetapi akan sedia berunding khususnya dengan UMNO/BN selepas keputusan PRU kelak," katanya.

Justeru itu, Mahfuz mendakwa PAS sebagai "tidak berprinsip" dan menyeru kepada rakyat supaya tidak memberi undi kepada bekas partinya itu, sebaliknya memberi undi kepada Pakatan Harapan pada PRU ke-14.

"PAS terbukti sekarang menjadi parti yang tidak berprinsip apabila memberi bayangan akan kesanggupaan mereka untuk menyokong BN.

"Rakyat tidak perlu membuang masa mengundi parti sebegini..," ujar Mahfuz yang memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena atas tiket PAS pada PRU yang lalu.

Selain itu, Mahfuz turut mendakwa pengundi yang memberi undi kepada PAS adalah sama seperti memberi undi kepada BN. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com