Mahathir Diumum Calon PM 'Sementara', Wan Azizah Timbalan


Akhirnya tercapai juga 'cita-cita' Tun Dr. Mahathir Mohamad, 93, untuk dilantik sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Itu pun jika gabungan parti pembangkang tersebut mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Harapan semalam mengumumkan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  sebagai calon Perdana Menteri sementara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan sebagai  timbalannya.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Setiusaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah dalam pengumuman khas pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 semalam.

Ia sambut sorakan oleh perwakilan konvensyen serta isak tangis kegembiraan isteri  Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah  Mohd Ali.

Pada majlis itu juga Pakatan Harapan mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen RRU14 bagi semenjanjung Malaysia.

Daripada 165 kerusi Parlimen,  PPBM yang baharu ditubuhkan mendapat 52 kerusi, PKR (51), DAP (37) sementara Parti  Amanah Negara (PAN) menerima kerusi paling sedikit, iaitu  27 kawasan.

PAN Johor memprotes pengagihan kerusi yang kecil kepada parti itu di Johor (dua Parlimen) dan memboikot konvensyen itu. Protes yang sama  juga disuarakan oleh PAN Perak.

Sebelum ini beberapa pemimpin PKR turut memprotes cadangan untuk melantik Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri danada yang mencadangkan beliau dilantik sebagai menteri kanan sahaja.

Lebih banyak reaksi protes dijangka akan kedengaran selepas ini.

Sementara itu Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan  pemilihan Dr. Mahathir akan mewujudkan ketidakstabilan politik di negara ini jika Pakatan diberi peluang memerintah.

"Ada kemungkinan Dr. Mahathir akan memegang jawatan buat sementara waktu sebelum digantikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, " kata Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO.

Beliau berkata, situasi seumpama itu akan mengakibatkan pelabur asing enggan melabur di negara ini kerana bimbang dengan pertukaran pemimpin yang mungkin berlaku.

"Tak mungkin Dr. Mahathir dengan senang menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas enam bulan atau setahun kerana kita tahu ada pergolakan yang berlaku antara mereka pada tahun 1998," katanya  semasa berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Jelebu, semalam. - kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com