Mahathir Anggap Perebutan Kerusi Dalam Pakatan Harapan 'Masalah Kecil'


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap tindakan ahlinya mengamuk Sabtu lepas kerana tidak puas hati mengenai pembahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan merupakan 'perkara kecil'.

Namun Mahathir mengakui bahawa Pakatan Harapan tidak boleh lari daripada kemelut tersebut.

“Ini hal kecil, ia dah selesai (Negeri Sembilan) ada sedikit ketidakpuasan hati. Bahagian yang dapat kawasan yang buat banyak bising. Bahagian PPBM yang tidak dapat kerusi tidak ada buat aduan,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PPBM semalam.

Namun demikian Dr. Mahathir seolah lupa bahawa banyak aduan dibuat ahlinya termasuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai perjalanan mesyuarat parti itu dan pemilihan ketua di peringkat bahagian.

“Tidak ada pertubuhan tidak menghadapi masalah, kejayaan atau tidak sesuatu pertubuhan ialah cara mereka selesai masalah, kalau tak boleh selesai tak payah jadi,” ujar kata Dr. Mahathir yang berusaha menutup kepincangan Pakatan Harapan dalam membuat agihan kerusi yang saksama.
.
Ekoran tidak puas hati  dengan pengagihan kerusi DUN,  sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan  membuat kecoh pada Konvensyen Pakatan Harapan dengan menjerit "boikot" berkali-kali di samping melaungkan ‘mana hak kami’ dan ‘tak adil’ ketika Presiden Pakatan,  Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu menamatkan ucapannya.

PPBM hanya diberikan enam kerusi DUN yang dianggap kawasan berstatus hitam iaitu sukar untuk mencapai kemenangan berbanding PKR dan DAP yang mendapat lebih banyak kerusi DUN.

Sementara itu Mahathir mendakwa kelewatan pendaftaran Pakatan Harapan oleh RoS adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap rakyat untuk memilih parti mereka pada pilihan raya yang akan datang.

“Pendaftaran parti Pakatan Harapan sehingga hari ini tiada jawapan daripada RoS jadi kita dapati bahawa ini sengaja dibuat demikian supaya kita habiskan masa dan tidak dapat buat persiapan untuk pilihan raya umum kerana kita tidak tahu sama ada kita punya simbol diterima atau tidak dan kita tak tahu sama ada parti kita ini diiktiraf secara rasmi atau tidak.

“Saya berpendapat bahawa tindakan kerajaan macam ini adalah sesuatu penganiayaan kepada rakyat kerana dalam pilihan raya, rakyat tidak dibenar untuk memilih pemimpin mereka kerana pemimpin mereka tidak mendapat bertanding sebagai yang dikehendaki mereka,” dakwa beliau seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette

Dalam perkembangan lain Dr Mahathir mengakui sukar untuk pakatan DAP-PKR-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPM) dan Parti Amanah Negara menawan Sabah pada PRU14..

"Kalau kita (Pakatan Harapan) dan Parti Warisan bertembung kedua-duannya akan rugi, " ujar Mahathir. Satu kerjasama mungkin dijalin di antara Pakatan Harapan dan Warisan," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com