Madu Tualang Di Tasik Pedu, Empangan Muda Merosot 100%


ALOR SETAR – Madu tualang antara madu terbaik di dunia dan usaha untuk mendapatnya bukan sahaja memakan masa malah mempertaruhkan nyawa.

Namun begitu, aset bernilai itu kini semakin terancam ekoran aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan yang berleluasa di hutan simpan negeri Kedah.

Perkara ini sangat berbeza jika dibandingkan dalam tempoh lima tahun lalu.

Menurut Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA), Padang Terap, Jamal Othman, hutan simpan Tasik Pedu dan Empangan Muda di Sik yang banyak menyimpan khazanah bernilai ini turut merosot apabila tiada bekalan diperoleh sejak tahun lalu.

Menurutnya, jika dilihat pada lima tahun lalu, FAMA pernah mendapat bekalan sehingga enam metrik tan bagi satu musim pengeluaran, namun pada 2016 jumlahnya makin merosot kepada 100 kilogram dan tahun lalu (2017) tiada bekalan diperoleh sehingga perlu dibeli daripada pengumpul madu tualang dari Perak, Terengganu, Johor dan Sarawak.

“Jumlah pembelian kami juga meningkat daripada RM306,000 pada 2016 kepada RM540,000 pada 2017 yang menunjukkan pengeluaran madu tualang semakin terjejas akibat pembalakan yang berleluasa,” katanya ketika ditemui di Kuala Nerang.

Tambahnya, penawaran yang terhad memaksa berkata pencari madu tualang menjualnya sendiri kepada rakan-rakan di media sosial bagi mendaptkan harga yang lebih baik

“Ini satu kerugian sumber alam yang besar kepada negeri Kedah sendiri kerana madu tualang di sini sangat bermutu kerana madunya terhasil dari nektar bunga dan herba yang diambil dari pelbagai spesies bernilai dan bersarang tinggi di atas pokok tualang, selain berwarna keemasan dan mempunyai khasiat lima kali ganda dari madu lebah lain di hutan negara ini,” katanya.

Namun begitu, FAMA mengambil langkah dengan membeli dari pengumpul madu tualang dari seluruh negeri bagi memastikan stok bekalan sentiasa ada di pusat pemprosesan dan jualan madu tualang di Rumah Madu miliknya di Kuala Nerang, di sini.

“Ini penting kerana rumah madu ini kami wujudkan kerana kehebatan madu tualang itu sendiri dan kami nak orang mengenali bahawa madu tualang di Padang Terap adalah madu yang terbaik dan dipercayai keasliannya selain dijual pada harga yang berpatutan,” katanya.

Katanya, madu tualang jenama Agromas ini dibeli akan diuji peratusan air dan gula (madu) selain aroma dan cita rasa bagi memastikan ketulenan madu.

Jamal berkata selepas itu ia menjalani proses dengan penapisan kali pertama bagi membuang benda asing yang bercampur dengan madu dan menjalani penyejatan kandungan air yang memakan masa antara lapan hingga 16 jam bagi mengeluarkan air berlebihan.

“Proses ini dilakukan kerana madu di kawasan hutan negara ini mempunyai kelembapan yang tinggi dan air berlebihan akan mempercepatkan madu menjadi masam, semasa sejatan antara tiga hingga lima peratus air akan dikeluarkan sehingga mencapai piawaian yang ditetapkan, ini kerana madu di negara ini mempunyai 71 hingga 75 peratus madu serta 22 dan 25 peratus air,” katanya.

Katanya, walaupun stok berkurangan, harga madu tualang yang dijual adalah masih berpatutan pada harga RM34.50 bagi (230 gram), RM75.35 (500 gram) dan RM104.85 (1 kilogram), namun harganya dijangka naik dalam tempoh terdekat disebabkan pengeluarannya yang merosot. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com