"Maaflah, Orang Pendang Tak Terima Politik Kotor Begitu" - Kak Su


ALOR SETAR - Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang "memohon maaf" kepada Pakatan Harapan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana enggan melayan provokasi politik kotor dalam ceramah perdana pembangkang, di sini baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Suraya Yaacob berkata, politik kebencian dan "hidangan" tohmahan tanpa asas yang cuba ditanam oleh gerombolan Pakatan Harapan di Bukit Jambul itu bukanlah satu amalan terpuji yang dianjurkan oleh agama Islam.

"Maaflah, kita tak layan naratif ceramah yang bercorak negatif begitu. Mereka datang hidangkan orang kampung dengan fitnah, menjadi batu api sengaja mencetus kebencian rakyat dengan tuduhan yang tidak berasas. Itu memang sifat Pakatan Harapan sejati.

"Itu bukan cara kita. Orang Kedah, khususnya orang Pendang tak suka budaya politik kotor begitu. Pendekatan seperti itu bukan menjadi amalan kita," tegasnya ketika mengulas mengenai isi kandungan ceramah politik barisan kepimpinan Pakatan Harapan, Jumaat lalu.


Sebaliknya kata Suraya, Wanita UMNO Pendang sejak dari dahulu konsisten menggunakan pendekatan politik sihat dengan mendekati masyarakat secara keseluruhan dan menawarkan khidmat bakti kepada orang kampung.

Tegas beliau, pendekatan politik "sakit" sebegitu selalunya hanya digunakan oleh mereka yang terdesak mengejar kuasa dan hanya mengapi-apikan emosi rakyat bagi meraih undi ketika menjelang pilihan raya.

"Kita tak pernah buat ceramah cerca orang sana sini. Kita tak sebar fitnah, kita tak berbohong kepada masyarakat dan hamburkan rungutan untuk mainkan emosi rakyat.

"Sebaliknya, kita sebarkan kasih sayang. Kita gunakan pendekatan politik bersih dan positif. Kita istiqamah berbakti kpd rakyat, buktikan kita konsisten membantu rakyat, kita berkempen cara politik sihat.

"Jika Pakatan Harapan pilih politik negatif, biarlah mereka. Kita gunakan cara positif mendekati rakyat. Rakyat yang bijak akan menilai. Mereka mahu yang positif atau negatif? Mereka mahu politik bersih atau politik kotor? Biar rakyat pilih," ujarnya sambil tersenyum.


Mahathir pada Jumaat lalu hadir menyampaikan ceramah politik di Bukit Jambul antara bercakap soal isu RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB sebagaimana tuduhan Sarawak Report kendalian warga asing, Clare Rewcastle Brown.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengesahkan dana tersebut disalurkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, dan audit forensik yang dijalankan mendedahkan wang berkenaan tiada sebarang perkaitan dengan 1MDB.

Turut hadir menyampaikan ceramah berbaur provokasi di majlis itu adalah Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang sebelum ini ditolak pengundi Parlimen Pendang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.


Selain itu, juga hadir di ceramah perdana itu adalah isteri Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Pengerusi PAN Kedah, Dr Ismail Salleh, Timbalan Presiden PPBM, Dato' Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua PPBM Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis.

Bekas pemimpin PAS yang juga Adun Anak Bukit, Dato' Amiruddin Hamzah turut hadir di majlis ceramah politik berkenaan.

Namun begitu, tidak seorang pun dari kalangan pemimpin pembangkang itu menjawab mengenai skandal-skandal penyelewengan mencecah RM100 bilion yang dikatakan berlaku di zaman Mahathir berkuasa.

Malah tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang meminta Mahathir mahupun Mukhriz memberi penjelasan mengenai kekayaan luar biasa anak-anak bekas Perdana Menteri itu, saudara mara dan kroni-kroni Pengerusi PPBM tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com