Liridon Pilih Setia Bersama Kedah Musim 2018


ALOR SETAR – Pemain tengah import Kedah, Liridon Krasniqi memutuskan terus kekal bersama skuad Lang Merah pada musim ini, biarpun khabar akhir hebat menyatakan beliau akan berhijrah ke sebuah kelab divisyen satu di Perancis.

Ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote mendedahkan pemain kelahiran Kosovo​​​​​​ berusia 26 tahun itu  kini bercuti bersama keluargany dan telah membuat keputusan akan bersama-sama rakan sepasukan di Surabaya, Indonesia. 

“Beliau mendapat tawaran menjalani ujian bersama sebuah kelab divisyen satu di Perancis dan kita gembira dia mendapat tawaran tersebut daripada sebuah pasukan terbaik di Eropah.

“(Bagaimanapun), beliau masih pemain kita kerana mempunyai baki kontrak, dan akan menyertai kita di Surabaya pada hari terakhir kejohanan berkenaan,” kata Marcote seperti dipetik dalam laman Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah, semalam.

Kedah akan menyertai kejohanan sulung Piala Super Suramadu di Stadium Gelora Bengkalan di Jawa Timur dari 8 hingga 12 Jan ini.

Sebelum ini, desas-desus kuat mengatakan sebuah portal berita di luar negara mendakwa kelab Angers Sporting di Perancis berminat untuk mendapatkan khidmat Liridon dan bersedia menebus kontraknya dengan Kedah.

Liridon yang menyertai Kedah daripada kelab di Turki, Fethiyespor pada 2015, mempamerkan prestasi cemerlang bersama skuad Lang Merah musim lepas, menyaksikan beliau meraih anugerah Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017, baru-baru ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com