Lelaki Tampar Wanita Kerana Tak Bertudung Disahkan Tidak Siuman


BUKIT MERTAJAM - Lelaki yang bertindak kasar terhadap seorang wanita warga asing yang tidak bertudung di sebuah perhentian bas di Taman Perwira di sini disahkan tidak siuman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa yang merupakan warga Indonesia itu telah bertindak mengesan lelaki terbabit di sekitar lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat orang awam polis berjaya mengesan rumah suspek bagaimanapun lelaki berusia 30 tahun itu tiada di rumah dan dikatakan keluar merayau.

"Bapa saudara suspek yang ditemui di rumah berkenaan memaklumkan anak saudaranya itu kurang siuman sejak 15 tahun lalu selepas terlibat dengan kemalangan jalanraya.

"Usaha menjejaki lelaki berkenaan masih lagi diteruskan untuk tindakan seterusnya termasuk menghantar ke Klinik Psikiatri Jalan Perak di Georgetown," katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai tindakan seorang lelaki yang memukul wanita dipercayai warga asing hanya kerana tidak bertudung sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen apabila video perbuatannya tular di laman sosial.

Video berdurasi enam minit 13 saat itu memaparkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pengawal keselamatan datang ke perhentian bas berkenaan dan menegur beberapa wanita yang tidak bertudung, rambut berwarna dan berpakaian seksi.

Pada awalnya mereka tidak mengendahkan perbuatan lelaki itu namun lelaki itu bertindak agresif dan sesekali mengangkat tangan kononnya mahu menampar mangsa yang didakwanya biadab dan menjawab segala tegurannya.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa berusia 24 tahun itu baharu dua bulan bekerja di sebuah kilang di Perai dan ketika kejadian dia bersama rakannya sedang menunggu bas untuk ke Bukit Mertajam.

Menurutnya, tidak lama kemudian suspek datang dalam keadaan tidak terurus dan seperti orang yang tidak waras sebelum bertanyakan kepada mangsa mahu ke mana.

Katanya, selepas menjawab soalan lelaki itu, suspek secara tiba-tiba marah dengan mengatakan dia pantang melihat perempuan tidak memakai tudung.

"Pada mulanya mangsa tidak mengendahkan kata-kata lelaki tersebut selepas itu lelaki itu terus menolak di kepala pengadu.

"Tiada apa-apa kesan mahupun kecederaan yang berlaku pada mangsa dan dia kemudiannya  membuat laporan polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa enggan mendapatkan rawatan di hospital dan tujuan dia membuat laporan kerana bimbang kejadian ini berulang lagi.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com