Lelaki OKU Ditemui Mati Dalam Bilik Di Alor Setar


ALOR SETAR - Lelaki ditemui mati di dalam bilik di rumah di Taman Tunku Habsah, Jalan Kanchut, Alor Setar, tengah malam kelmarin.

Mangsa, Wong Lai Kang, 39, yang juga orang kelainan upaya (OKU) fizikal ditemui anggota bomba tersandar di atas kerusi.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat kemanusiaan pada 11.54 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi empat minit kemudian.

Tambah beliau, operasi diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Hamidi Manas bersama sembilan anggota termasuk penyelia dengan sebuah jentera serta Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, didapati mangsa terperangkap dalam bilik dan ketua operasi kemudian mengarahkan anggota menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu bilik sebelum menemui mangsa.

"Lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya memetik MyMetro.

Mohamad Mustakim berkata, operasi tamat pada 12.32 tengah malam. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com