Lelaki Lakukan Sumbang Mahram Terhadap Adik Ipar Dijel 13 Tahun


ALOR SETAR - Seorang penjual ikan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam atas kesalahan melakukan sumbang mahram dengan adik iparnya yang di bawah umur awal bulan ini.

Menurut Hakim Najwa Che Mat yang menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 23 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Dia dituduh melakukan persetubuhan haram dengan mangsa berusia 14 tahun di dalam kereta Toyota Sienta di kawasan hutan berhampiran Jalan ke Istana Bukit Malut, Langkawi pada 5 Januari lalu, kira-kira 6 petang.

Untuk kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim turut menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Januari lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur melakukan pendakwaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, lelaki tersebut merayu supaya dikenakan hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan seorang anak dan isteri.

Bagaimanapun memetik MyMetro, Rehab berhujah supaya hukuman berat dan setimpal dikenakan kepada tertuduh mengambil kira kekerapan kes sumbang mahram dalam masyarakat.

Beliau memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan memberikan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com