Lambakan Udang Berlaku Di Dungun, Kenapa Ini Terjadi?


KUALA TERENGGANU – Lambakan udang di Pasar Dungun adalah disebabkan daerah itu mempunyai paling banyak lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) berbanding daerah lain, kata Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali.

Beliau menjelaskan lambakan udang itu bukan disebabkan fenomena air pasang besar atau pasca banjir.

“Di Terengganu, terdapat 72 bot yang diberi lesen PTMT. Dungun adalah daerah tertinggi yang mempunyai lesen itu iaitu sebanyak 25 diikuti Kemaman (18), Besut (15), Kuala Terengganu (sembilan), Setiu (empat) dan Marang (satu).

“Sebanyak 53.2 tan metrik udang telah didaratkan di seluruh Terengganu sepanjang Disember lalu dengan Dungun mendaratkan jumlah tertinggi sebanyak 37.5 tan,” katanya kepada Bernama semalam.

Lesen PTMT hanya dikeluarkan pada musim tengkujuh bermula November sehingga Februari, katanya ketika diminta mengulas lambakan udang di Pasar Dungun dan dijual lebih murah daripada harga pasaran yang tular di media sosial.

“Ketika ini, udang bersaiz sederhana dijual RM20 sekilo (anggaran 25 ekor), udang putih sedang pula RM55 sekilo (anggaran 10 hingga 15 ekor) dan udang harimau (RM80 sekilo),” katanya.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com