Laksanakan Peruntukan Wasiat Raja-Raja Melayu


KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melaksanakan sepenuhnya semua peruntukan dalam Wasiat Raja-Raja Melayu yang dimeterai semua Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957, untuk semua kelompok masyarakat di negara ini.

Pengerusi Biro Ekonomi, Majlis Perundingan Melayu (MPM) Hasan Hamzah berkata wasiat tersebut bukan untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera sahaja, sebaliknya mewakili kepentingan semua pihak dan kaum di negara ini.

“Wasiat itu merangkumi semua aspek atau parameter utama kemakmuran, baik aspek keagamaan, pendidikan, ekonomi, keselamatan dan lain-lain. Maka pelaksanaannya pasti akan mewujudkan kehidupan masyarakat majmuk ini dengan lebih sejahtera, makmur dan berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sehubungan itu, Hasan berkata, kerajaan bersama Jabatan Istana negeri-negeri disaran memberi taklimat kepada semua pemimpin kerajaan atau pembangkang supaya mereka dapat memahami dan menghayati isi kandungan semua wasiat itu.

“Tidak kira apa juga fahaman atau ideologi politik mereka, semuanya bertanggungjawab melaksanakan atau memastikan kesemua wasiat itu dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.

Menurut Hasan, MPM juga akan menganjurkan kempen penerangan supaya semua lapisan masyarakat mengetahui, memahami dan menghayati wasiat itu.

Beliau berkata masyarakat seharusnya bersepakat menolak sebarang usaha mengeksploitasi suasana politik semasa untuk tujuan mengambil kesempatan.

“Kita semua cintakan kedamaian. Maka semua pihak usah cuba membuat pelbagai tuntutan. Lebih-lebih lagi tuntutan tidak munasabah yang boleh mencemari keharmonian dan kedamaian yang kita semua inginkan,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com