Laksa Cap Kunci Ada Campuran Asid Penyebab Kanser, Pengilang Didenda RM10,000


KUALA LUMPUR – Sebuah pengilang makanan yang mengeluarkan pelbagai jenis mi termasuk laksa didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah menjual makanan mengandungi asid benzoik yang boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan jika dimakan untuk tempoh yang lama.

Mengikut pertuduhan, EHH Food Industry Sdn. Bhd. yang diwakili Penyelia Operasinya, Oh Ching Hai didakwa menjual laksa pendek Cap Kunci mengan­dungi asid benzoik yang merupakan bahan pengawet yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan 63 Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang dibaca bersama Peraturan 2(5) akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Aeon Metro Prima Store, No. 1, Jalan Metro Prima Kepong dekat sini kira-kira pukul 10 pagi, 22 Ogos tahun lalu.

Pertuduhan dikemu­kakan oleh pegawai pendakwa dari Pejabat Kesihatan Da­erah Kepong, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Arsyad Mohd. Jaafar mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(d) akta Makanan 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13B(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Ching Hai ketika membuat rayuan memohon agar syarikat terbabit dikenakan denda yang minimum bagaimanapun hujah tersebut dibantah oleh Arsyad atas alasan bahan pengawet terlarang yang digunakan boleh menyebabkan serangan asma atau alahan, rinitis atau keradangan pada bahagian dalam hidung dan juga kanser sekiranya diambil dalam tempoh lama.

Majistret Zuhair Rosli selepas meneliti hujah dan ra­yuan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan jika gagal membayar denda terbabit, harta benda syarikat terbabit yang mempunyai nilai yang sama boleh disita. Syarikat terbabit membayar denda tersebut.

 Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com