Kurang Yakin Diri Punca Cemburu Buta


KUALA LUMPUR - Kurang keyakinan diri dan kepercayaan antara punca masalah cemburu buta yang mengundang konflik tidak berkesudahan serta kegagalan mengawal tingkah laku sehingga mengakibatkan tragedi.

Kelemahan itu memberi kesan terhadap psikologi yang boleh merangsang seseorang menjadi agresif sama ada secara lisan mahupun fizikal terhadap pasangannya atau pihak ketiga.

Pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata cemburu buta juga menyebabkan individu itu sering terhimpit konflik dalaman dan dengan orang lain.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, masalah semakin buruk apabila berlaku kurang persefahaman dan interaksi antara kedua-dua pihak terbabit.

Katanya, antara tindak balas lazim berlaku ialah menyalahkan diri sendiri, membandingkan kemampuan diri dengan pihak ketiga dan melihat imej diri, termasuk fizikal serta dalaman tidak sehebat orang ketiga.

"Dari sudut psikologi, individu mengalami cemburu melampau ini jiwanya sentiasa bergolak, tidak tenang dan berperang dengan diri sendiri.

"Pelbagai emosi timbul, antara lain marah, derita, takut, sedih dan geram sehingga mengalami kemurungan serta boleh terdorong melakukan serangan fizikal yang membawa kecederaan atau tragedi seperti kematian," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan media mengenai pelbagai kes, termasuk membabitkan penderaan dan kematian, yang berpunca daripada perasaan cemburu terhadap pasangan.

Mengenai langkah penyelesaian pula, Mohammad Shatar berkata, ada beberapa kaedah boleh dilakukan, termasuk menangani punca suatu perasaan cemburu itu secara positif dan mengawal emosi.

"Perasaan cemburu yang tidak terkawal sering membawa kepada perlakuan di luar batas kemanusiaan seperti memukul dan mendera pasangan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com