Kuala Ketil Jadi Kawasan Perindustrian Baharu Kedah


ALOR SETAR - Kuala Ketil Baling akan dijadikan zon perindustrian bagi daerah ini apabila 24 kilang akan beroperasi secara berperingkat kelak.

Menurut Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kawasan berhampiran Rehat dan Rawat (RNR) Tawar di sini itu lebih sesuai kerana ia jauh dari kawasan kepadatan penduduk setempat.

“Kawasan Kuala Ketil akan dijadikan kawasan perindustrian memandangkan sumbangan dari segi kepadatan penduduk dan tenaga kerja lebih besar berbanding daripada kawasan lain.

“Kita akan membawa pelabur-pelabur dari negara luar datang untuk melabur di sini dan mendirikan pelbagai jenis kilang bagi pembangunan dan menaikkan ekonomi penduduk di daerah ini,” katanya memetik Utusan Online.

Beliau membuat kenyataan berikut ketika berucap dalam majlis perasmian Dewan Surau Masjid AlHuda di Kampung Padang Geh di sini pada Ahad.

Jelas Abdul Azeez, kawasan Tawar dipilih kerana ia amat sesuai dengan kedudukannya yang strategik serta laluan utama ke Kulim, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.

Katanya, pembangunan industri di kawasan akan memberi nilai tambah kepada penduduk termasuk apabila infrastruktur lain termasuk jalan raya akan turut dinaik taraf.

“Kewujudan kilang ini turut memberi peluang pekerjaan kepada 36,000 rakyat termasuk penduduk setempat.

“Projek pembinaan jalan raya empat lorong dari Kuala Ketil ke Tawar itu akan dimulakan pada bulan hadapan,”ujar Abdul Azeez.

Sementara itu, seorang remaja Syihad Elfaid Abdul Kadir, 19, yang baru sahaja menamatkan persekolahan turut menyambut baik usaha kerajaan untuk membina kilang.

“Saya menyambut baik usaha tersebut bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Jadi, tidak perlu lagi kami mencari kerja di kawasan-kawasan luar yang menyebabkan penghijrahan dan juga masalah keselamatan sekiranya berulang-alik setiap hari ke tempat kerja,” kata Syihad Elfaid. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com