Kritikan Peminat Bakar Semangat Pallares


ALOR SETAR - Penyerang import baharu Kedah, Pablo Pallares tidak tertekan dengan kritikan penyokong pasukan terhadapnya malah menjadikan ia sebagai pembakar semangat.

Pallares yang dari Sepanyol menganggap situasi dihadapi ini adalah lumrah dalam bola sepak dan tidak akan sama sekali mengganggu tumpuannya untuk memberikan yang terbaik.

"Tekanan sebegini adalah perkara biasa dalam bola sepak walau di mana sahaja anda bermain. Di Sepanyol pun saya menghadapi situasi sama kerana setiap pasukan mahukan kejayaan.

"Jadi tiada bezanya di sini apatah lagi Kedah adalah sebuah pasukan yang hebat. Namun saya tidak akan membiarkan kritikan penyokong itu menjejaskan konsentrasi saya.

"Saya tidak perlu melatah atau tertekan. Malah kritikan sebegini membangkitkan lagi semangat saya untuk memberikan yang terbaik," katanya memetik BH Online.

Baru-baru ini, Pallares mencetuskan keresahan serta kritikan penyokong Helang Merah selepas mempamerkan prestasi hambar dalam beberapa perlawanan pemanas badan.

Malah pemilihannya oleh jurulatih Ramon Marcote sebagai pengganti Ken Ilso menimbulkan keraguan di kalangan penyokong kerana rekodnya yang tidak memberangsangkan dalam liga divisyen dua Sepanyol.

Mangulas lanjut, Pallares berkata dia memerlukan masa untuk mengenali serta memahami rakan sepasukan di samping cuba menyesuaikan diri dengan corak bola sepak di sini.

Tambahnya lagi, sepanjang kariernya, inilah pertama kali dia berkelana meninggalkan tanah airnya.

"Saya gembira di sini cuma sedang menyesuaikan diri. Saya masih cuba memahami bagaimana rakan sepasukan bermain. Masalah bahasa juga memberi sedikit kesukaran untuk berkomunikasi.

"Tapi dari hari ke hari, sedikit demi sedikit saya dapat mengatasinya. Saya yakin akhirnya saya akan Mendapat keserasian dengan pemain serta penyokong.

"Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa kerana di Sepanyol, janji dianggap badi. Cuma akan memberikan yang terbaik untuk pasukan," kata Pallares. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com