Kontraktor China Sedia Bantu Naik Taraf Infrastruktur Malaysia


KUALA LUMPUR - Syarikat kontraktor dari China sentiasa bersedia menawarkan kepakaran dan memindahkan teknologi pembinaan canggih bagi membantu Malaysia menaik taraf infrastruktur.

Duta China ke Malaysia, Bai Tian, berkata syarikat terbabit bukan sekadar hendak meraih keuntungan menerusi projek dilaksanakan, tetapi juga membantu Malaysia menaik taraf infrastruktur ke arah lebih tinggi.

Malah, katanya, kontraktor China akan turut melatih pekerja tempatan menjadi pekerja mahir dalam projek pembinaan, di samping mengurus projek pembangunan yang canggih.

"Malaysia sekarang menuju ke arah TN50 (Transformasi Nasional 2050). Ia satu wawasan besar untuk dijayakan dan asas utamanya ialah pembangunan infrastruktur.

"Pembinaan The Exchange 106 atau Signature Tower ialah satu daripada contohnya. Kontraktor China membantu Malaysia membina infrastruktur yang mengagumkan ini.

"Kami sentiasa sedia membantu Malaysia membina dan menaik taraf infrastruktur mengikut kepantasan kualiti dan teknologi yang kontraktor kami mampu lakukan," katanya selepas melawat projek pembinaan The Exchange 106 di sini, semalam.

Pembinaan The Exchange 106 dijangka siap pada pertengahan tahun ini. Menara itu dijangka menjadi binaan ke-15 tertinggi di dunia dengan anggaran ketinggian 439 meter dan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM3.5 bilion.

Ia adalah lawatan kerja rasmi pertama Tian yang baru dua bulan berada di negara ini sebagai duta.

Beliau turut melahirkan kekagumannya terhadap projek itu yang disifatkan sebagai 'testimoni' kepada kejayaan hubungan antara Malaysia dengan China.

Ketika ini, Tian berkata, ada banyak kontraktor China terbabit dalam projek pembinaan di Malaysia seperti pembinaan terowong jalan raya, projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), lebuh raya, loji tenaga dan empangan.

Katanya, hubungan dua hala dan kepercayaan politik yang tinggi antara pemimpin China dengan Malaysia ialah faktor penyumbang kontraktor negara itu mendapat kepercayaan melaksanakan projek infrastruktur di negara ini.

"Hal ini kerana Malaysia mencari kontraktor terbaik dan kontraktor China adalah antara yang terbaik. Mereka bukan sekadar 'membuat duit' tetapi membantu rakyat Malaysia membina masa depan yang gemilang," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com