Kit Siang Kata Rakyat Tiada Pilihan Lain, Beri Undi Pada Pakatan Harapan


ALOR SETAR - Bagi memastikan Pakatan Harapan berkuasa di negara ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan lain lagi selain memberi undi kepada gabungan parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Tokoh veteran itu dalam memberi kata dua berkata, pengundi di negara ini perlu memberi undi kepada Pakatan Harapan dan tidak ada pilihan lain lagi selain daripada itu.

"Apa pilihan ketiga? Ia akan berakhir dengan sistem yang ada sekarang. Ini bermakna 'pilihan ketiga' tidak wujud," katanya, memetik laporan sebuah portal pro-pembangkang.

Kit Siang dalam kenyataannya juga cuba menakut-nakutkan rakyat dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) kononnya akan terus menerajui negara selama 20 tahun lagi selepas ini jika pengundi tidak memilih Pakatan Harapan.

Beliau dipercayai berkata demikian bagi mengulas tindakan netizen yang berkempen #UndiRosak pada PRU ke-14 nanti apabila Pakatan Harapan memilih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Kit Siang sebelum ini merupakan antara ahli politik paling vokal mengecam Mahathir dan meminta beliau berundur dari jawatan Perdana Menteri selain menuduhnya terbabit dalam pelbagai skandal melibatkan puluhan bilion ringgit dan zalim ketika memerintah negara.

Malah Mahathir juga sepanjang puluhan tahun berkali-kali menegaskan bahawa DAP merupakan petualang negara yang bersifat rasis, chauvinis dan perlu ditolak oleh seluruh rakyat di negara ini.

Walau bagaimanapun, difahamkan gara-gara tidak berpuas hati dengan masa depan politik anaknya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, bekas Presiden UMNO itu sanggup bersekongkol dengan musuh ketatnya itu untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mahathir dilihat terdesak apabila menggunakan fakta rekaan sebuah portal asing, Sarawak Report kendalian Clare Rewcastle Brown yang beberapa kali didedahkan bekas kakitangannya telah memalsukan banyak laporan dan dokumen, terutama membabitkan syarikat GLC negara, 1MDB.

Sehingga kini, Mahathir masih menggunakan isu RM2.6 bilion yang kononnya "dicuri" Mohd Najib daripada 1MDB, sedangkan Kerajaan Arab Saudi sebelum ini telah mengesahkan bahawa wang tersebut merupakan dana yang disumbangkan kepada Presiden UMNO itu.

Difahamkan bahawa penyumbang dana politik lebih memilih untuk merahsiakan sumbangan mereka bagi menjaga hubungan baik dengan ramai pihak dan berhak untuk merahsiakan pemberian mereka kepada mana-mana parti politik.

Mohd Najib sebelum ini pernah mencadangkan supaya Dewan Rakyat meluluskan akta bagi semua parti di negara ini supaya mendedahkan sumber dan penyumbang dana, namun cadangan tersebut ditentang keras oleh parti pembangkang, khususnya DAP dan PKR.

Desas-desus sebelum ini mendakwa parti pembangkang di negara ini menerima dana asing dari pelbagai pihak di luar negara terutama negara pro-yahudi dan komunis selain individu asing yang mahu melihat kestabilan negara menjadi kucar-kacir. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com