‘King’ KL Gangster Bingung, Turut Ditampar Farid Kamil


SEHARI sebelum Datuk Farid Kamil ditahan ekoran menampar anggota polis, pelakon, Ridzuan Hashim terlebih dahulu menjadi mangsa tamparan pengarah terkenal itu.

Pelakon yang terkenal dengan watak King menerusi filem KL Gangster itu berkata kejadian tersebut berlaku ketika beliau berada di set penggambaran drama terbarunya, Uniknya Cinta pada lewat malam Khamis.

“Kejadian berlaku jam 1.30 pagi pada 10 Januari lalu di studio milik Soffi Jikan ketika berlangsung penggambaran drama arahan Shuhaimi Lua Abdullah.

“Saya pada waktu itu sedang memakai stokin dan tiba-tiba dia masuk ke dalam bilik pakaian serta meminta sehelai baju.

“Apabila saya beritahu semua pakaian di situ milik pelakon, dia dengan tidak semena-mena menampar pipi kiri saya sehingga merah,” katanya dipetik sebuah portal online.

Jelas Ridzuan, selepas ditampar beliau sempat menjerit kepada pengarah filem V3: Samseng Jalanan itu dan bertanya mengapa dirinya ditampar.

Namun, Farid dikatakan terus berlari keluar dan meninggalkan keretanya di set penggambaran.

“Tidak semena-mena Farid menampar pipi kiri saya sampai jadi merah. Apabila saya jerit ‘Oi kenapa kau tampar aku? Dia terus berlari keluar meninggalkan premis yang menjadi lokasi penggambaran.

“Ketika itu saya lihat dia seperti kebingungan. Kru dan pelakon lain menjadi saksi apabila saya menjerit namanya dan mereka juga melihatnya berlari keluar,” jelasnya memetik Harian Metro.

Meskipun begitu, Rizuan memaklumkan bahawa beliau sudah memaafkan perbuatan Farid dan tidak berdendam dengan pelakon berusia 37 tahun itu.

Sementara itu, mengulas berhubung kes penahanan Farid, Ridzuan mengakui terkejut dan berharap agar para netizen berhenti menjadi ‘malaikat’ penghukum.

“Itu antara sebab mengapa saya tidak buat laporan polis kerana tidak mahu kejadian itu dispekulasikan. Nanti orang ingat saya yang cari pasal.

“Saya juga bukan jenis yang suka mengadu dengan wartawan. Selepas kejadian itu, saya malas nak fikir lagi dan terus masuk ke set penggambaran sehinggalah semua babak saya selesai jam 4.30 pagi,” katanya.

Khamis lalu, Farid dilaporkan datang ke Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk membuat laporan mengenai satu kes kemalangan jalan raya.

Namun ketika sedang berurusan, aktor itu secara tiba-tiba didakwa bertindak menampar muka petugas yang menerima aduan. Kejadian itu disaksikan oleh beberapa anggota lain dan orang awam.

Susulan itu, Farid telah direman selama 4 hari yang berkuatkuasa pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com