Kilang Bebola Ikan Di Sungai Petani Guna Logo Halal Palsu Jakim Diserbu


ALOR SETAR – Seorang pengusaha kilang memproses bebola ikan berdepan risiko dihukum penjara dan didenda selepas didapati menggunakan logo dan sijil halal yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kegiatan licik pengusaha kilang tersebut yang berusia 68 tahun itu terbongkar setelah sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Sungai Petani kelmarin selepas mendapat maklumat orang awam.

Menurut Ketua Pejabat KPDNKK Cawangan Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, hasil pemeriksaan mendapati pembungkus yang digunakan untuk produk itu tertera tanda halal yang tidak mendapat kelulusan daripada Jakim.

“Siasatan juga mendapati pengusaha premis di Jalan Pinang Tunggal dekat sini tidak pernah memohon mendapatkan sijil halal itu sejak beroperasi lebih 10 tahun lalu.

“Kita merampas dan menyita 13,000 plastik pembungkus yang tertera tanda logo halal dalam tulisan jawi yang berjumlah RM1,300 itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu.

Jelasnya, kilang berkenaan juga dikesan tidak mengemaskini maklumat peraturan baharu di bawah Seksyen 8(b) Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Katanya yang memetik Utusan Online, pemeriksaan hampir tiga jam itu dilakukan selepas KPDNKK menerima aduan orang awam yang ragu-ragu terhadap produk makanan yang dikeluarkan kilang tersebut.

Tambah Mazlan, pihaknya percaya kehadiran pegawainya dapat dihidu pengusaha kilang terbabit kerana semasa serbuan tiada operasi pembungkusan dijalankan.

Malah, ujarnya, plastik pembungkus yang tertera logo halal tidak diiktiraf itu turut dikesan disembunyikan di dalam bilik khas dan hanya ditemukan selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan pihaknya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com