Ketua Polis Kedah Sasar Tumpas Kongsi Gelap, Dadah


ALOR SETAR - Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, menanam keazaman mahu menewaskan kegiatan kongsi gelap dan dadah di negeri ini dengan berbekalkan pengalaman dimilikinya.

Zainal Abidin yang baru sahaja dinaikkan pangkat sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, memulakan tugas baharu di Kedah semalam.

Beliau menggantikan Datuk Asri Yusoff, yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

"Saya harap semua pegawai dan anggota di negeri ini dapat bersama-sama memastikan kegiatan jenayah terutama dadah dan kongsi gelap dapat ditangani secara menyeluruh sekali gus membolehkan masyarakat dapat hidup dengan harmoni.

"Apa yang dirancang oleh Ketua Polis Kedah sebelum ini mengenai pembasmian dadah akan diteruskan..kita akan mengikuti semua perancangan beliau dalam memastikan Kedah mencapai sifar dadah dan jenayah," katanya.

Beliau menegaskan perkara berikut ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah di Dewab Tan Sri Khalid di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini.

Majlis itu disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Dalam majlis yang sama, kekosongan jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kedah yang ditinggalkan Datin Bedah Dollah, diisi oleh isteri Zainal Abidin iaitu Prof Madya Datin Roseleena Mohamed Nor.Zainal Abidin, 57, yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai Asisten Superintendan memulakan latihan kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Beliau yang berasal dari Ulu Kinta di Perak, berkata sepanjang 32 tahun dalam perkhidmatan PDRM, pengalaman menjadi Ketua Polis Daerah Kota Setar, di sini dan memimpin Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di dua negeri menjadi garis panduan untuknya memimpin Kedah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com