Ketenangan Desa Di Ladang Agro Semeliang Kuala Nerang


PADANG TERAP - Mahukan percutian di desa sambil mendidik anak-anak mengenai rasa cinta terhadap alam dan haiwan? Cubalah berkunjung ke Ladang Agro Semeliang yang terletak di Kampung Semeliang, Kuala Nerang dekat sini.

Terletak hanya kira-kira dua kilometer dari Pekan Kuala Nerang, percutian di situ mampu menawarkan ketenangan kepada golongan dewasa dan keceriaan kepada anak-anak kecil.

Keseronokan buat anak-anak kecil itu sebenarnya boleh ‘terpancar’ sejak dari mula anda meletakkan kenderaan lagi.

Jika bernasib baik, turun saja dari kereta, Abu si penyambut tetamu ‘mungkin’ memberi salam dengan suara yang cukup lunak.

Mengapa mungkin? Sebabnya semua itu bergantung kepada ‘mood’ Abu yang merupakan seekor burung kakak tua comel berwarna kelabu daripada baka African Grey yang mampu meniru percakapan manusia sekali gus mendatangkan kekaguman buat anak-anak kecil.

Bermula dari situ, teruslah menjelajah ke kawasan kiri dan kanan kerana terdapat lebih 10 ekor ‘rakan-rakan’ Abu yang datang dari serata negara dengan pelbagai warna menarik sedia ditatap dari jarak dekat antaranya burung kakak tua jenis red lory dan suncornia.

Sesudah itu, bawalah anak-anak anda bermesra dengan Atan, Mike, Ibu, Minah dan Awang juga bukanlah manusia sebaliknya rusa yang menjadi tarikan utama di situ.

Jangan bimbang, semua rusa sambar itu jinak-jinak belaka dan anda sekeluarga tidak akan berdepan masalah untuk memang­gil Atan, Mike, Ibu, Minah, Awang mahupun puluhan rusa lain yang ada di situ untuk datang ke tepi sangkar bagi diberikan makan.

Tidak cukup dengan itu, anak-anak kecil berpeluang menaiki kuda padi, ‘berkenalan’ dengan 10 jenis ayam yang juga datang dari serata dunia serta mandi manda di kolam yang terletak dalam kawasan ladang tersebut.

Menurut pengasas dan pengurus lokasi percutian tersebut, Nor Azhar Mohd. Noor, seboleh mungkin dia mengimpikan supaya pe­ngunjung terutama kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu setiap kali berkunjung ke situ.

“Semua ini sebenarnya bermula daripada hobi saya yang suka membela haiwan. Sebelum ini saya bekerja sebagai jurutera sebelum membuka syarikat pembinaan sendiri.

“Pada 2005, saya mula membela kambing, kemudian pada 2008 saya mula belajar menternak rusa daripada penternak kecil-kecilan di Tualang dekat sini yang menyebabkan rasa minat pada haiwan itu kian bercambah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.


Menurutnya, bagi mendalami ilmu menternak haiwan, dia sanggup untuk menjelajah ke seluruh tanah air sebelum ke Australia bagi berguru dengan individu yang benar-benar pakar.

“Lama-kelamaan jumlah rusa yang saya bela kian bertambah dan kawan-kawan yang sama terlibat dalam bidang ini pun kian ramai sehingga membolehkan kami bekerjasama dalam pelbagai aspek,” katanya.

Mengulas mengenai ladangnya itu, dia berkata tempat itu mula melalui transformasi menjadi lokasi percutian apabila terdapat permintaan masyarakat luar yang ingin membawa keluarga bermalam di situ beberapa tahun lalu.

“Setelah mempunyai sedikit kepakaran dalam menternak rusa, saya bersama rakan-rakan seringkali mengadakan seminar atau kelas untuk individu berminat. Mulanya kami buat di premis berdekatan namun setelah beberapa ketika, kami mula melaksanakannya di ladang ini.

“Lama-kelamaan terdapat permintaan peserta seminar dan masyarakat luar mahu membawa keluarga bercuti di sini. Memandangkan ada sambutan menggalakkan, kami membina resort yang kini mempunyai enam bilik yang selesa untuk percutian seisi keluarga,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai lokasi percutian itu boleh didapati di laman Facebook Semeliang Agro Farm atau Semeliang Village Resort.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com