Kes Rasuah: SPRM Tahan Pengarah JPS Perlis, Pemilik Syarikat


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis bersama dua individu lain kerana dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut sumber, suspek berusia 60 tahun itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus  bagi setiap projek yang dianugerahkan oleh JPS Perlis kepada kontraktor-kontraktor dilantik sejak tahun 2014 hingga 2017.

"Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan SPRM adalah dua pemilik syarikat berusia 50 dan 39 masing-masing yang dipercayai bersubahat dengan pengarah tersebut," katanya.

Katanya lagi, pasukan penyiasat juga mendapati pengarah tersebut juga menggunakan nama sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan untuk melaksanakan projek-projek yang dianugerahkan oleh JPS.

"Dia juga didapati menjalani kehidupan yang mewah hasil daripada wang rasuah yang diterima daripada kontraktor-kontraktor sejak tahun 2014.

"Difahamkan, siasatan juga mendapati suspek pengarah itu telah memindahkan sejumlah wang rasuah yang diperolehi dengan menyalahgunakan jawatannya itu ke beberapa akauan miliknya dan saudara-mara,"katanya.

Menurut sumber itu lagi, hasil siasatan, SPRM telah merampas wang tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah salah seorang pemilik syarikat yang ditahan.

"Pasukan penyiasat turut menyita empat akaun bank yang mempunyai wang berjumlah RM2.9 juta yang dipercayai diperolehi melalui perbuatan rasuah dan salah guna kuasa,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri, Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dimulakan selepas SPRM menerima menerima laporan berhubung perbuatan pengarah tersebut.

Beliau berkata, siasatan masih di peringkat awal dan pasukan penyiasat kini dalam proses meneliti dokumen-dokumen yang dirampas bagi membantu siasatan.

"Ketiga-tiga saspek yang ditahan di SPRM Kedah dijangka akan dihadapkan di mahkamah Alor Setar esok untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com