Kes Kereta Pegawai Kastam Terbakar Ada Unsur Jenayah


PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kes empat kenderaan milik pegawai kanan kastam dan anggota keluarganya yang terbakar dalam kejadian di kuarters kerajaan di Presint 11 di sini minggu lalu mempunyai unsur jenayah.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata siasatan pihaknya mendapati cermin sebuah daripada kenderaan terbabit dipecahkan sebelum dicurah petrol dan dibakar.

“Memandangkan kebakaran itu ada melibatkan perbuatan jenayah maka JBPM menyerahkan perkara itu kepada pihak polis,” kata Wan Mohd Nor kepada pemberita di sini semalam selepas melawat unit pangsapuri perumahan awam di Presint 16 yang terbakarkelmarin.

Dalam kejadian awal pagi 23 Jan lalu, empat kenderaan milik Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguat Kuasa GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Nur Azman Mat Jini serta keluarganya yang diletakkan di hadapan kuarters kediaman beliau terbakar, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan sebelum ini dilaporkan berkata kertas siasatan terhadap kes berkenaan dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu khianat dengan api. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com