Kerugian RM4.6 Juta Di Kedah 2017 Gara-Gara Macau Scam


ALOR SETAR - Kedah mencatatkan kerugian kira-kira RM4.6 juta sepanjang tahun lalu membabitkan 134 kes Macau Scam yang dilaporkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Supt Chan Teck Paing berkata, spesifik mangsa yang tertipu melibatkan rakyat tempatan yang mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan. 

Antaranya termasuk suri rumah yang telah terpedaya dengan memindahkan wang ke akaun sindiket yang beroperasi di negara jiran.

Tambahnya, aktviti licik sindiket itu juga dikesan dimana mereka turut merekrut warga tempatan terdiri daripada orang Melayu berbanding warga asing sebelum ini.

"Melalui siasatan kami dapati sindiket sudah mula merekrut anak tempatan terdiri kaum Melayu menyebabkan statistik kes tahun lalu didominasi oleh 93 mangsa orang Melayu, 34 kaum Cina dan India tujuh kes.

"Mereka yang menjadi mangsa juga adalah ahli perniagaan, guru, pekerja kewangan dan suri rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Kedah di sini, pada Ahad lalu.

Pendedahan itu diketahui setelah pihak polis bertindak menahan 63 orang ahli sindiket itu tahun lalu dan empat lagi pada tahun ini untuk siasatan dan tindakan.

Ujarnya, sejak Dis 2017 hingga bulan ini, 18 laporan diterima yang 15 daripadanya belum sempat memindahkan wang ke akaun sindiket selepas menyedari mereka ditipu atas nasihat pihak bank.

Mangsa lain yang tertipu, tiga wanita terdiri daripada dua ahli perniagaan dan seorang kakitangan hotel kerugian RM32,000 bagi tempoh dua bulan ini kerana terpedaya dengan sindiket itu.

Difahamkan bahawa anggota sindiket ini menyamar sebagai pegawai kastam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan membuat helah dan mendakwa mangsa memiliki telefon bimbit yang dibawa masuk tanpa cukai dan perlu membayar sejumlah wang bagi membolehkan barangan itu dibenarkan masuk ke negara ini.

"Sindiket juga bijak membuat helah dengan menyambung panggilan mangsa kepada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Kedah yang kemudian mendakwa akaun bank mereka terbabit kes dadah dan selepas itu proses penipuan berlaku sehingga mangsa ketakutan dan menurut arahan sindiket demi melepaskan diri," katanya.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan penipuan sindiket ini dan menghubungi pihak berwajib jika ragu-ragu dengan panggilan yang diterima. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com