Kerajaan Saran Usahakan Tanah Tidak Diusahakan Bersama Felcra


ALOR SETAR – Semua kerajaan negeri yang memiliki tanah yang tidak diusahakan disaran bekerjasama dengan Felcra Berhad (Felcra) untuk melaksanakan projek tanaman kelapa sawit, padi atau getah.

Menurut Pengerusi Felcra Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata setiap tahun Felcra merancang untuk memperluaskan kawasan ladang di seluruh negara namun kekurangan tanah untuk membuka ladang-ladang baharu di Semenanjung Malaysia.

“Felcra hanya bertindak sebagai agensi pelaksana, hasil serta keuntungan yang diperoleh menerusi projek terbabit akan dipulangkan kepada Kerajaan Negeri, untuk diagihkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya memetik Bernama.

Beliau berucap demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Belia Felcra Wilayah Utara di Dataran Pejabat Pengurus Besar Felcra Wilayah Utara di sini kelmarin.

Perasmian majlis yang dihadiri kira-kira 600 anak peneroka Felcra dari seluruh wilayah utara itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sementara itu, Bung Moktar berkata projek ladang terbabit adalah baik, malah banyak negeri yang telah bekerjasama dengan Felcra termasuk Kedah, Terengganu, Johor dan Pahang.

“Program ini memang baik, ia dapat memastikan mereka memperoleh pendapatan tetap…contohnya jika ada tanah seluas 5 ekar, akan dapat pulangan yang baik…untung antara RM250 hingga RM1,250 sebulan.

“Sebab itu kita galakkan…bukan bermaksud Felcra akan mengambil-alih tanah terbabit sebaliknya minta mereka bekerjasama dengan Felcra…penyertaan daripada negeri ketika ini amat baik tetapi lebih baik kalau dapat ditambah, dapat mengurangkan kadar kemiskinan,” ujarnya.

Pada masa sama, Bung Moktar berkata keluasan ladang diusahakan Felcra adalah 260,000 hektar membabitkan tanaman kelapa sawit, getah dan padi.

Daripada jumlah itu, 25,000 hektar tanah adalah milik Felcra manakala selebihnya milik peserta, katanya. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com