Kerajaan Negeri Kedah Tak Ada Masalah Untuk Disiasat SPRM


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembalakan Bukit Enggang dan Projek Bekalan Air Masyarakat Daerah Sik.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, memandangkan laporan berhubung perkara tersebut telah dibuat di pejabat SPRM, pihaknya tidak akan mencampuri urusan berkaitan.

“Kita serahkan kepada SPRM untuk lakukan siasatan, kerajaan negeri tiada masalah untuk beri kerjasama yang diperlukan,” katanya memetik Sinar Online.

Beliau berkata demikian selepas program penyerahan sumbangan basikal kepada 500 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda.

Pada Khamis lalu, Pas Kedah dan Jawatankuasa Bertindak Membantah Kemusnahan Bukit Enggang membuat laporan kepada SPRM Kedah, agar siasatan dilakukan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan seluas 1,000 hektar di Kompartmen 12, 13, 14 dan 15 Hutan Bukit Enggang untuk membangunkan ladang hutan ganti dengan tanaman Albizia dan Timber Latex Clone (TLC).

Mengulas desakan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang mahu aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda dihentikan kerana didakwa menjejaskan kawasan tadahan air, Ahmad Bashah berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Perhutanan untuk kenal pasti punca permasalahan.

“Kita akan minta Jabatan Hutan kaji semula, termasuk bayaran premium yang dikatakan terlalu rendah, iaitu RM1,000 setiap hektar hutan yang ditebang. Jika ada syarikat mahu bayar lebih tinggi, mestilah kita tak tolak,” ujarnya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com