Kerajaan Minta Jeti Haram Di Tanjung Dawai Diroboh, Bakal Diganti Kemudahan Baru


TANJUNG DAWAI – Nelayan yang membina jeti haram di Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai digesa merobohkan binaan berkenaan memandangkan kerajaan akan membina kemudahan itu dalam masa terdekat.

Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima jeti haram dibina secara persendirian biarpun rumah yang dibina di projek berkenaan belum diduduki.

Beliau yang juga Exco kerajaan negeri menjelaskan, binaan jeti haram yang dibina tidak sempurna dan meminta mana-mana individu bertanggungjawab merobohkan kemudahan berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Notis dah mula dihantar kepada mereka agar segera runtuhkan atau mereka nak diruntuhkan. Dah berselerak jeti haram dibina, saya ingat ada empat rupanya lima, sebab masing-masing nak jeti sendiri tapi tak sempurna.

“Kita nak mereka runtuhkan oleh kerana kita nak kawasan ini jadi kawasan pelancongan, bersih dan sistematik,” katanya ketika hadir merasmikan Majlis Penyerahan Kunci kepada 206 peserta PSN Tanjung Dawai kelmarin.

Hadir sama, Ketua Seksyen Perumahan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Siti Hawa Delaila Tukiran dan Pengarah LKIM Kedah, Hamdan Mamat.

Tajul turut meminta golongan nelayan akur dengan arahan berkenaan memandangkan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah meluluskan peruntukan RM300,000 dan RM600,000 untuk pembinaan jeti pertama serta kedua dalam kawasan PSN terbabit.

Menurutnya, pembinaan kemudahan itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh enam bulan.

Pada majlis sama, seramai 206 pemohon menerima kunci masing-masing sebaik sahaja selesai membuat pembayaran deposit bagi tujuan pemasangan bekalan elektrik dan air, kelmarin.

"Baki 94 unit rumah lagi masih belum ditentukan pemilik di mana pihak pengurusan akan mempertimbangkan permohonan rayuan yang dikemukakan.

"Lebih 800 permohonan diterima persatuan nelayan namun hanya yang menepati kriteria sahaja layak menerima rumah dari PSN Tanjung Dawai," katanya.

Projek berkenaan yang diumumkan perdana menteri pada 2012 lalu merupakan manifesto kerajaan BN sebelum PRU13 mula dibina pada 2013 selepas BN memerintah semula Kedah, namun tergendala beberapa kali dan siap sepenuhnya pada 2018.

Menurut Tajul, ia berikutan keadaan tapak projek berkenaan didirikan di kawasan paya bakau yang berlaku mendapan sehingga menyebabkan ia ditunda beberapa kali.

Difahamkan, penerima PSN hanya perlu membayar RM150 sebulan dalam tempoh 30 tahun.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com