Kerajaan Kedah Arah Bentang Laporan Aktiviti Pembalakan


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengeluarkan arahan kepada  Jabatan Perhutanan Negeri Kedah supaya membentangkan laporan mengenai aktiviti pembalakan yang didakwa dijalankan secara rakus di Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM), Sik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, arahan itu diberikan pada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Datuk Mohd. Nasir Abu Hasan.

Laporan tersebut perlu dibentangkan pada mesyuarat Exco kerajaan ne­geri dalam tempoh terdekat.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah prihatin terhadap isu alam sekitar dan mendapatkan penjelasan khusus tentang aktiviti pembalakan itu.

“Saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Mohd. Nasir ketika bertemu­nya pada sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-76 di Istana Anak Bukit tadi (semalam),” katanya.


Terdahulu, dilaporkan sebanyak hampir empat juta penduduk di tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dijangka menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih jika kegiatan pembalakan yang rakus di HSUM, Sik tidak dihentikan.

Bagi memastikan kejadian tersebut tidak menimpa rakyat, pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda sentiasa memantau ketat aktiviti pembalakan di kawasan hutan terbabit.

Menurut Badrol, pemantauan sentiasa dijalankan bagi memastikan syarikat konsesi pembalakan menjalankan aktiviti penebangan balak secara terkawal dan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

“Pihak berkuasa juga memberi perhatian serius terhadap kualiti air sungai di kawasan pembalakan untuk mengelakkan ia terjejas pada musim hujan,” ujarnya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri sentiasa menghormati usaha sama yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu alam sekitar dan bersedia berbincang dengan pihak tersebut bagi menangani isu berkenaan.

Tambahnya, kerajaan negeri terbuka untuk menerima pandangan daripada NGO terbabit berhubung isu alam sekitar untuk kebaikan rakyat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com