Kerajaan Beri Jaminan Tidak Akan Kecilkan Saiz Perkhidmatan Awam – Najib


KOTA BHARU – Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan mengekalkan bilangan penjawat awam di negara ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, sejumlah 1.6 juta penjawat awam sedia ada berperanan penting sebagai peneraju dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan pelbagai manfaat kepada penjawat awam yang banyak membantu melaksanakan dasar kerajaan.

“Ada cakap-cakap nak mengecutkan saiz perkhidmatan awam, ada yang hina penjawat awam kata kucing kuraplah, apalah.

“Saya nak beritahu, kerajaan pimpinan saya tidak akan kecutkan saiz perkhidmatan awam, jangan bimbang.

“Kita tetap jaga, yang kontrak pun kita sambung, yang patut habis kontrak dia minta sambung, kita sambung lagi ‘almost permanent’ (hampir tetap),” katanya berucap di hadapan lebih 10,000 penjawat awam pada majlis Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Kelantan di Wisma Persekutuan Kelantan, semalam.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Najib menganggap penjawat awam sebagai benteng dan tulang belakang kerajaan yang membolehkan pelbagai dasar dilaksanakan dengan lancar.

“Sesebuah kerajaan tidak mungkin dapat mentadbir dengan sempurna melainkan penjawat awam berdiri teguh di belakang dan berkhidmat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, amanah dan kesungguhan.

“Tanggungjawab kita sebagai pemimpin semestinya mampu merangka dasar berwawasan yang bukan saja bersifat jangka masa pendek tapi menjangkau tempoh yang lebih lama,” katanya. 

Sumber – BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com