Kena Tangkap Selepas Dua Bulan Keluar Penjara


BAGAN SERAI - Baru dua bulan keluar dari penjara, seorang penagih dan pengedar dadah ditahan semula bersama seorang rakan kerana disyaki memiliki 325 gram heroin.

Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan polis dalam serbuan di pondok di Sungai Pinang, Selinsing, di sini, pada jam 11 malam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata serbuan menemukan satu beg plastik hijau yang di dalamnya terdapat 152 paket plastik lutsinar dipercayai heroin, selain beberapa peralatan menghisap dadah di dalam bekas tin dipercayai milik suspek.

Katanya, dadah yang siap dibungkus itu bernilai RM10,000 dan dikatakan akan dijual di pasaran tempatan pada harga antara RM30 hingga RM500 sepaket, tertakluk pada saiz dan berat.

"Kedua-dua suspek adalah penagih tegar dan penduduk tempatan. Mereka juga mempunyai empat rekod jenayah berkaitan kes dadah dan dikehendaki polis.

"Seorang daripada suspek dikatakan baru dua bulan keluar dari Penjara Taiping," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Omar berkata, polis yakin dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Selinsing dengan tertangkapnya kedua-dua suspek berkenaan.

Katanya, kedua-dua mereka direman lima hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com