Keluarga Mangsa Tragedi MH370 Bersyukur Kerajaan Sambung Pencarian


KUALA LUMPUR – Seorang ahli keluarga mangsa tragedi kehilangan pesawat MH370 empat tahun lalu melahirkan rasa syukur selepas kerajaan dan sebuah syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika, Ocean INFINITY Limited memeterai perjanjian pencarian baharu pesawat malang ber­kenaan pada semalam.

Salah seorang ahli keluarga mangsa tragedi itu, Nur Laila Ngah berkata, sudah hampir empat tahun peristiwa itu berlaku dan bersyukur sekarang kerajaan masih meneruskan misi pencarian baharu walaupun tempohnya cuma terhad kepada tiga bulan sahaja.

“Saya juga tidak meletakkan harapan menggunung kerana kejadian itu sudah lama berlalu namun sekiranya bangkai (wreckage) pesawat serta kotak hitam dapat ditemukan dalam lingkungan 25,000 kilometer persegi kawasan pencarian, itu adalah satu keajaiban.

“Semoga ada sinar baharu dalam misi pencarian kali ini. De­ngan izin Allah serta berkat doa seluruh keluarga mangsa, penca­rian ini akan berakhir dengan pe­nemuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pesawat itu masih belum ditemui walaupun operasi mencari besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi di mana pe­nerbangan pesawat itu dipercayai ‘berakhir’ selepas beralih daripada laluan asalnya.

Selain itu, isteri kepada pramugara kanan MH370, Wan Swaid Wan Ismail itu berkata, kami sekeluarga reda dengan segala ketentuan yang ditetapkan kepada kami.

“Alhamdulillah, ketiga-tiga anak saya yang berumur 12, 14 dan 16 tahun itu membesar dengan sihat walaupun mereka berjauh­an dengan ayahnya.

“Saya harap kami terus diberi kekuatan dan Allah sentiasa menyayangi serta melindungi kami sekeluarga. Kami tidak akan berputus asa, selagi tidak ditemukan sebarang bangkai pesawat, ia adalah harapan bagi kami,” katanya.

Hari ini, kerajaan Malaysia hari ini memeterai perjanjian dengan Ocean INFINITY Limited bagi operasi baharu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dijangkakan bermula pertengahan Januari ini dengan membabitkan kawasan seluas 25,000 kilometer di selatan Laut Hindi.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com