Kelompok Elit Politik Ambil Peluang Kuasai Pakatan Harapan - PAS


FORMULA pembahagian kerusi dan ketetapan calon perdana menteri gabungan pakatan pembangkang menunjukkan kejayaan besar kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menguasai gabungan empat parti pembangkang.

Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata 'muafakat' yang dicapai Pakatan Harapan Ahad lalu menunjukkan kejayaan Dr. Mahathir dalam menguasai musuh politik yang memusuhi beliau sejak 1998.

Ketetapan itu juga menyaksikan gabungan pakatan pembangkang berundur ke belakang apabila mengajak rakyat kembali ke zaman gelap Dr Mahathir, kata Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

"Pelbagai skandal kewangan di zaman Dr Mahathir dulu sepatutnya sudah cukup menjadi rekod bahawa beliau tidak diperlukan oleh rakyat untuk kembali memegang jawatan Perdana Menteri lagi jika Pakatan Harapan menang, " katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menyatakan agihan kerusi parlimen yang sedikit kepada Parti Amanah Negara (PAN) membuktika parti itu paling lemah dalam kalangan sekutu pembangkang.

Sementara itu, seorang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Riduan Mohd Nor berkata pembahagian kerusi Parlimen Pakatan Harapan pada PRU ke-14 memperlihatkan dominasi kelompok elit politik licik dan cerdik yang pantas mengambil peluang menguasai gabungan itu.

Dalam hal ini, kata beliau, paling banyak mendapat keuntungan adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat dengan masing-masing mendapat kerusi paling banyak.

Lebih menakjubkan, ujar beliau lagi pemimpin PPBM bakal diangkat calon Perdana Menteri sementara pemimpin PKR akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Agak melucukan dan menghairankan, parti serpihan yang dibentuk belum sampai dua tahun boleh mendapat tempat sebegitu tinggi sedangkan parti yang lebih kurang sebaya, PAN hanya mendapat 27  kerusi parlimen dan tidak dijanjikan apa-apa kedudukan tertinggi, kata Dr. Riduan seperti mana yang dilaporkan oleh Harakahdaily semalam.

"Benarlah kata orang, politik bukan soal kejujuran dan ketulusan. Politik adalah sejauh mana golongan yang bijak mengambil kesempatan dengan mempergunakan orang lain demi kepentingan diri sendiri, " katanya lagi.

Sehari dua ini, kata Dr. Riduan, telah muncul pula rasa tidak puas hati di mana-mana yang boleh melahirkan sabotaj dan pengkhianatan. 

Beliau berkata konsensus mereka umpama sarang labah-labah, sangat rapuh dan hanya bertahan menunggu masa untuk roboh.

Menurut beliau lagi PAS pernah berhadapan dengan suasana sebegitu dan dibuli dengan sedemikian rupa oleh Pakatan Rakyat.

Atas jentera PAS, dana dan sokongan, pengaruh, pentas dan strategi PAS mereka bertanding dan menang tetapi di akhirnya PAS juga yang tersingkir dan dipinggirkan, imbas Dr. Riduan. 

"PAN hari ini merasai apa yang pernah kami (PAS) lalui dahulu. Tetapi, mereka (PAN) lupa dan tidak pernah serik ditipu, ditindas dan dijanjikan dengan pelbagai kata-kata manis yang indah di halwa telinga.

Mereka seperti terpukau dengan janji setinggi langit dengan pelbagai jawatan penting dan menarik, tetapi yang akhirnya semua kedudukan itu golongan tertentu pula yang membolotnya, " kata beliau. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com