Kedudukan Mahfuz Sebagai Calon Pokok Sena Masih Kabur


PAS Selangor bersedia menawarkan kerusi kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan bersedia membantu parti itu dalam kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang itu dikenakan syarat, perlu menyertai PAS terlebih dahulu.

Di Kedah, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang keluar PAS pada 31  Disember lalu belum lagi menyatakan parti mana yang akan disertai oleh beliau walaupun mendapat tawaran daripada parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Semasa mengumumkan untuk tinggalkan PAS, iaitu sehari sebelum tahun baharu 2018, Mahfuz yang kini Ahli Parlimen Bebas Parlimen Pokok Sena menyatakan beliau tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyatakan pendiriannya.

Selain menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Kkeadilan Rakyat (PKR) Mahfuz  juga ditawarkan oleh DAP.

Dalam keadaan perebutan kerusi antara parti gabungan parti pembangkang dan selepas ini kemungkinan berlaku pertindihan calon, kedudukan Mahfuz untuk kekal di Pokok Sena masih kabur jika masih belum menyatakan parti pilihannya.

Pengundi Pokok Sena yang menyokongnya dahulu tentu ingin tahu siapa calon pembangkang bagi parlimen itu yang dimenangi PAS sejak tiga penggal, pada PRU14 ini . 

Mungkin kerana Mahfuz yakin akan menang jika beliau bertanding lagi di kawasan itu, beliau tidak perlu mengumumkan parti yang akan disertainya buat masa ini.

Bagaimanapun populariti Mahfuz tidak boleh disamakan dengan Abdul Khalid, bekas Menteri Besar Selangor yang 'digulingkan' oleh PKR untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerusi 'Langkah Kajang'.

Mahfuz meninggalkan PAS kerana parti itu enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Sementara Khalid dipelawa oleh PAS untuk memperkukuh parti itu bagi menawan Selangor daripada cengkaman PKR dan DAP selain memberi tekanan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berbeza dengan Mahfuz, beliau menentang PAS walaupun masih menjadi ahli PAS. 

PAS tidak menyingkirkan Mahfuz kerana 'masih sayangkan' pemimpin itu walaupun beliau bertindak menyerang Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Namun ramai percaya, nasib Mahfuz akan mendapat perhatian penuh Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir amat memerlukan seorang pemimpin seperti Mahfuz bagi menyerang PAS dan BN pada kempen pilihanraya akan datang. 

Jika tidak dicalonkan sekalipun pun Mahfuz sebelum ini memberitahu dia tidak kisah kerana perjuangannya hanya mahu melihat Pakatan Harapan yang diketuai DAP memerintah negara ini. - Kedahnews.com     


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com